‘Tolong jaga semua ya’

‘Tolong jaga semua ya’

6888
0

“Nanti tolong jaga mak, ayah, anak-anak aku dan anak-anak saudara.”

Permintaan itu berulang kali disebut arwah Surazru Mohamed Sakeri, 37, kepada adik-beradiknya ketika pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarga di Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai, Jun lalu.

Ketika itu, mereka mengiyakan saja permintaan arwah kerana menganggap ia hanya perbualan biasa dalam kalangan mereka sembilan beradik sehinggalah tragedi awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian di KM251.6 lebuh raya PLUS arah selatan dekat Plaza Tol Senawang itu, Surazru meninggal dunia selepas lori tangki muatan 25,000 liter asid yang dipandunya terbalik.

Arwah meninggalkan seorang balu, Rabiatul Adawiyah, 37, dan lima anak berusia antara lima hingga 15 tahun.

Adiknya, Siti Badariah Ghazali, 32, (satu ibu, lain bapa) berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka permintaan arwah ketika pulang beraya itu sebenarnya amanat terakhir yang ditinggalkan untuk dipenuhi sebaik mungkin.

“Memang raya tempoh hari, kali terakhir kami berkumpul dan berjumpa dengannya. Ketika itu memang arwah abang nampak lain sikit.

“Dia kelihatan sangat ceria dan sentiasa ketawa. Selalu pun dia begitu (ceria) tapi raya tempoh hari, dia seperti gembira sangat-sangat.

“Ketika kami duduk berbual adik beradik, masa itulah dia pesan supaya jagakan mak ayah, anaknya dan anak saudara semua dengan baik. Tolong jaga semua ya.”

“Berulang kali juga dia cakap begitu, tapi kita buat biasa sahaja. Sehinggalah pada 10 pagi (Sabtu), kami terima panggilan telefon daripada adik di Melawati. Beritahu kejadian berkenaan.

“Ia mengejutkan semua ahli keluarga kami terutama mak (Rahmah Ismail, 60),” katanya.

Siti Badariah berkata, arwah anak ketiga, sudah lama memandu lori, malah mula terbabit dengan pekerjaan itu sejak habis sekolah.

Katanya, jenazah arwah dibawa pulang ke kampung halaman dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manek Urai Lama, tengah malam ini. – harian metro

Leave a Reply