Tidak Menjadi Kesalahan Pamer Logo VBT2017 Di Kenderaan – Ketua Polis Negeri

Tidak Menjadi Kesalahan Pamer Logo VBT2017 Di Kenderaan – Ketua Polis Negeri

1262
0

Kuala Terengganu: Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman menegaskan tidak menjadi kesalahan jika pemilik kenderaan persendirian menampal pelekat ‘Visit Beautiful Terengganu’ pada kenderaan masing-masing.

Katanya, tiada tindakan dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang menampal pelekat itu kerana penggunaan pelekat tidak terhad hanya kepada kenderaan milik kerajaan negeri.

“Orang ramai juga boleh melakukan perkara sama (menampal pelekat) untuk membantu mempromosikan Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tersebar di media sosial mengatakan polis menyuruh pemilik kenderaan membuang pelekat promosi itu pada kereta milik persendirian.

Sehubungan itu, Rosli berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan kerana setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

Beliau berkata jika benar dakwaan itu, pihaknya meminta individu berkenaan tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk membantu siasatan.

“Kita minta orang ramai mahupun individu yang memuat naik status berkenaan di laman sosial tampil memberikan maklumat untuk kita siasat.

“Jika benar ada anggota mahupun pegawai yang terbabit, kita akan lakukan siasatan dalaman,” katanya. – hmetro

Leave a Reply