Pelajar lemas, bot dinaiki terbalik di muara Kuala Besut (8 Gambar)

0
32913

Jerteh – Kegembiraan 15 penuntut pusat pengajian tinggi tempatan menyertai perhimpunan pelajar berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas selepas bot dinaiki terbalik berhampiran muara Kuala Besut, tengah hari tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.20 tengah hari ketika bot pelancong membawa 15 penuntut terbabit dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian ke jeti Kuala Besut, di sini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Nur Nasibah Husna Ibrahim, 21, dari Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh, Kelantan.

Lima mangsa dirawat di Klinik Kesihatan Kuala Besut manakala sembilan dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan dan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas.

“Kejadian berlaku kira-kira lima kilometer dari jeti pelancongan Kuala Besut iaitu sekitar perairan Pulau Rhu, dekat sini.

“Berdasarkan laporan, kejadian berlaku apabila bot yang dinaiki dikatakan mengalami masalah enjin menyebabkan ia berputar dan terbalik, sekali gus mengakibatkan semua penumpang terjatuh ke dalam laut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, seorang mangsa, Umi Nor Ansha Noordin, 23, berkata, rombongan penuntut seramai 60 orang menghadiri program Himpunan Anak-Anak Kelantan, di pusat Pelancongan Pulau Perhentian, semalam.

Katanya, program itu disertai penuntut daripada pelbagai universiti tempatan yang mengumpul anak-anak Kelantan yang menuntut di pusat pengajian tinggi dalam negara.

“Kami bertolak dari Pulau Perhentian kira-kira jam 11.30 pagi tadi dengan beberapa buah bot tetapi bot yang saya naiki tiba-tiba terbalik menyebabkan kami semua terjatuh ke laut.

“Ketika itu tiada ombak besar tetapi bot berputar beberapa kali sebelum terbalik,” katanya ketika ditemui di Hospital Besut, di sini. – berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here