Nothing to Hide 2.0 kecoh Dengan Balingan Suar dan Bom Asap

0
465

SHAH ALAM: Forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Armada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertukar kecoh apabila suar, kerusi, kasut, selipar dan botol air dilempar ketika Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berucap.

Forum yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7 di sini yang bermula pada jam 4.15 petang itu, mulanya berlangsung dengan aman hampir sejam sebelum bertukar ganas.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, suar yang dilempar jatuh hampir dengan pentas utama forum berkenaan, sebelum keadaan menjadi huru-hara apabila beberapa objek dilemparkan pihak tertentu, sehingga hampir terkena Dr Mahathir, selain petugas media yang berada berhampiran.

Keadaan itu menimbulkan panik sehingga hadirin berlari ke luar dewan untuk menyelamatkan diri.

KEKECOHAN yang berlaku ketika program “Nothing To Hide 2.0” anjuran Angkatan Muda Bersatu Malaysia (ARMADA) di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam. -Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Beberapa orang turut dilaporkan cedera ketika kekecohan berlaku.

Terdahulu, suasana forum itu mula tegang apabila Dr Mahathir enggan menjawab soalan seorang hadirin yang bertanya sama ada sabitan kes liwat terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri itu adalah benar atau hanya bermotifkan politik.

Dr Mahathir sebaliknya berkata, perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana tumpuan utama pakatan pembangkang ketika ini ialah untuk menjatuhkan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KEKECOHAN yang berlaku ketika program “Nothing To Hide 2.0” anjuran Angkatan Muda Bersatu Malaysia (ARMADA) di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam. -Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Keadaan semakin tegang apabila seorang hadirin bertanya mengenai kekayaan anak Dr Mahathir dan peristiwa Memali, sebelum secara tiba-tiba kasut dan selipar dibaling ke arahnya.

Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, kecewa dengan insiden itu dan menggesa pihak berkuasa menahan pihak bertanggungjawab.

“Dr Mahathir menjawab dengan tenang walaupun ada soalan berbentuk provokasi ditanya. Seharusnya semua pihak matang dalam situasi ini.

“Tidak perlu buat kecoh dan kita menolak budaya samseng dalam politik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here