Komited perangi rasuah dalam perkhidmatan awam

0
747
Melancarkan Buku Kod Etika Pihak Berkuasa Tempatan Terengganu.

Kerajaan Negeri komited dan serius dalam membasmi kegiatan rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan bagi mencapai ketelusan dalam perkhidmatan awam, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Menteri Besar Dato Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, antara tindakan yang dilakukan dalam meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah adalah menjadi negeri pertama di Malaysia menubuhkan Majlis Perundingan Integriti Negeri Terengganu (MPINT) pada Mac 2015 bagi menangani rasuah dan ketirisan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama SPRM menjadi negeri pertama menandatangani Ikrar Integriti Korporat dan menyarankan semua Ahli Lembaga Pengarah GLC serta agensi lain membuat pengisytiharan harta.

Tegasnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang melanggar undang-undang dan peraturan sedia ada.

Beliau mahu semua pihak berganding bahu dalam memerangi gejala negatif itu untuk mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi perkhidmatan awam.

‘Rakyat memerlukan ketelusan dalam penguruan kerajaan kerana sebagai penjawat awam kita seharusnya memainkan peranan sebagai agen pelaksana untuk memastikan kepercayaan dan keyakinan rakyat tidak hilang’.

‘Penjawat awam perlu menjadi role model kepada masyarakat kerana penjawat awam yang bebas daripada sebarang salah laku mencerminkan pentadbiran sesebuah organisasi yang baik (good governance) dan mencapai aspirasi kerajaan’.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dan Pelancaran Buku Kod Etika Pihak Berkuasa Tempatan Terengganu di Dewan Aspirasi UiTM Dungun petang tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Dato’ Shamshun Baharin bin Mohd Jamil.dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Mohd Jidin Shafee.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail di atas inisiatif yang diambil dalam meningkatkan integriti dalam kalangan warga PBT seluruh negeri Terengganu. – Terengganu Times

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here