Hadiah Hari Guru, bekas pelajar taja ustaz kesayangan tunai haji

0
30380

Seberang Takir – Sambutan Hari Guru pada tahun ini memberi makna yang cukup istimewa buat seorang pesara guru, Ustaz Syed Hamid apabila dikunjungi oleh beberapa bekas pelajar yang pernah mendapat didikan beliau suatu ketika dahulu.

Lebih manis apabila salah seorang anak murid beliau, Dato’ Jailani Ngah berbesar hati untuk menaja Ustaz Syed Hamid bagi mengerjakan ibadah haji ke Mekah pada tahun ini.

Jailani yang juga merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, hadiah itu merupakan sumbangan peribadi beliau bagi menghargai jasa bekas guru yang ketika itu mengajar di Sekolah Agama Batu Rakit, Setiu.

“Itu merupakan hadiah istimewa daripada saya sebagai bekas pelajar walaupun hakikatnya ia masih tidak mampu membayar segala apa yang beliau curahkan selama ini,” katanya kepada Terengganu Times, di sini hari ini.

Jailani berkata, sambutan Hari Guru kali memberikan satu satu pengertian kepadanya dan rakan-rakan kerana berpeluang menziarahi Ustaz Syed Hamid buat kali pertama semenjak meninggalkan bangku persekolahan dek kerana kesibukan masa sebagai seorang pegawai kerajaan.

“Selepas puluhan tahun, saya akhirnya bertemu kembali dengan guru yang bertanggungjawab membentuk jati diri saya sehingga saya berjaya seperti sekarang,” katanya.

Dalam masa yang sama, Jailani turut menasihati para pelajar untuk sentiasa menghargai dan membalas jasa guru walaupun sekadar memberikan hadiah sempena Hari Guru.

Sementara itu, Ustaz Syed Hamid ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka akan mendapat hadiah istimewa daripada Jailani kerana beranggapan kedatangan itu sekadar kunjungan biasa sahaja.

“Ini mungkin hidayah Allah kepada beliau untuk menemui saya dan memberikan apa yang Allah kehendaki kepada saya. Syukur kepada Allah dan terima kepada Dato’ di atas kesudian beliau menaja saya untuk mengerjakan haji pada tahun ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here