Waspada Penjenayah Menyamar Pekerja TNB

0
294

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pihak yang menyamar sebagai pekerja atau kontraktor TNB berikutan kes warga emas yang disamun di rumahnya, oleh penjenayah yang menyamar sebagai pekerja TNB beberapa hari lepas.

Pengurus Besar Perhubungan Awam dan Dalaman (TNB), Datuk Omar Sidek berkata anggota kerja TNB yang sebenar diwajibkan berpakaian seragam syarikat berupa kemeja-T bewarna merah, berjaket biru dengan logo serta nama, ketika menjalankan tugas.

“Pemeriksaan hanya akan dibuat setakat di meter sahaja dan tidak dibenarkan membuat pemeriksaan pendawaian selepas meter kerana ia di luar bidang kuasa TNB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata kakitangan TNB perlu menunjukkan kad kuasa (kad pengenalan diri sebagai pekerja TNB yang memaparkan gambar anggota kerja berserta nombor kad pengenalan dan nombor pekerja) kepada pemilik atau penghuni premis.

Katanya kes melibatkan penjenayah menyamar sebagai pekerja TNB amat merisaukan seperti yang berlaku baru-baru ini.

Dua hari lepas, sebuah akhbar melaporkan seorang wanita warga emas di Jertih, Terengganu menjadi mangsa apabila disamun di rumahnya oleh dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja TNB di Kampung Gong Mak Som dekat Alor Lintah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi dipetik berkata, suspek berpura-pura mahu memeriksa meter elektrik rumah mangsa dan meminta mangsa mengambil bil, ketika mangsa menyerahkan bil elektrik, suspek terus meragut rantai leher mangsa berusia 61 tahun sebelum melarikan diri.

Pada bulan Julai baru-baru ini, seorang lelaki menyamar sebagai pekerja TNB untuk mencuri telefon pintar Samsung S7 di sebuah pejabat berlokasi di Jalan Kuchai Lama. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here