Warga emas disamun ketika mahu ke masjid

0
554

BESUT – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjatakan pisau dan alat renjatan elektrik di rumah mereka di Alor Lintang, di sini pagi semalam, yang menyebabkan kerugian kira-kira RM30,000.

Kejadian kira-kira jam 5.35 pagi itu berlaku ketika kontraktor berkenaan, Zakaria Mahmud, 70, mahu memasuki kereta untuk pergi menunaikan solat Subuh di masjid berhampiran.

Zakaria berkata, dia ketika itu mahu ke masjid berhampiran, sementara isterinya, Fatimah Mohamed, 70, membaca al-Quran di dalam bilik sementara menunggu azan Subuh.

“Selepas kunci pintu, saya pergi buka pagar dan menuju ke kereta yang diletakkan di bawah garaj berdekatan rumah. Masa nak buka pintu kereta, tiba-tiba muncul dua lelaki bertopeng dari halaman rumah menuju ke arah saya.

“Salah seorang terus acu pisau di leher saya dan mengarahkan saya tak bising dan melawan. Mereka beritahu hanya mahukan duit dalam loghat tempatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, seorang lagi suspek kemudian bertindak menjatuhkannya ke atas lantai, sebelum mengikat kaki dan tangannya menggunakan pengikat kabel.

“Suspek tanya sama ada saya cedera ketika diikat. Masa tu saya merayu agar tidak diikat terlalu ketat sebab sakit.

“Suspek ada bawa satu benda dipercayai alat renjatan elektrik, tapi tak digunakan sebab saya tak melawan. Mereka tertinggal alat tu di tepi rumah berdekatan tempat saya diikat,” katanya yang tinggal berdua bersama isterinya di rumah berkenaan.

Tambahnya, suspek merampas beg duitnya yang mengandungi kira-kira RM1,000 dan pelbagai dokumen penting termasuk kad kredit serta kad ATM.

Katanya lagi, mereka kemudian mengambil kunci rumah dan tidak lama selepas itu dia terdengar jeritan isterinya.

“Masa mereka berdua dalam rumah, saya dapat buka ikatan kabel dan panjat pagar rumah untuk meminta bantuan penduduk sekitar termasuk hubungi polis. Saya ambil keputusan untuk tidak terus masuk ke dalam rumah sebab khuatir penjenayah akan bertindak agresif dan mencederakan isteri saya.

“Tidak lama kemudian, saya bersama beberapa penduduk yang kebetulan mahu pergi menunaikan solat Subuh bergegas ke rumah semula, tapi suspek dah melarikan diri,” katanya.

Anak Zakaria menunjukkan alat renjatan elektrik yang ditinggalkan penjenayah, semalam.

Menurutnya, sebaik memasuki rumah, dia mendapati isterinya dalam keadaan terikat di dalam bilik, tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, penyamun terbabit melarikan seutas gelang tangan emas, wang tunai RM2,500, dua telefon bimbit dan sebuah komputer riba dengan keseluruhan kerugian dianggarkan RM30,000.

“Saya pun tak cedera, cuma sakit pinggang sikit sebab terjatuh masa cuba lompat pagar,” katanya.

Zakaria mengesyaki penjenayah yang berbadan kurus, berbaju lengan panjang serta memakai seluar dan sarung hitam itu telah mengintip pergerakannya selama beberapa hari sebelum melakukan samun.

Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hassan mengesahkan kejadian.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan menggunakan senjata,” katanya. SINAR HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here