(Video) Banjir: Suami isteri simpan kambing dalam rumah

0
236

HULU TERENGGANU – Sepasang suami isteri tidak kisah ‘mengorbankan’ ruang tamu rumah mereka di Kampung Nibong di sini bagi menempatkan 14 ekor kambing agar dapat memastikan haiwan ternakan mereka sihat dan selamat dalam musim banjir.

Bagi Rohani Mamat, 50, dan suaminya, Ismail Othman, 60, kebajikan ternakan harus turut dijaga, apatah lagi ia menjadi sebahagian daripada sumber rezeki mereka.

Menurut Rohani, kesemua ternakan itu mula dibawa naik ke rumah untuk bermalam sejak kelmarin kerana kandang bersebelahan kediaman mereka rosak teruk akibat dilanda ribut pada Ahad lalu.

“Selepas kandang roboh, semua kambing dikumpul bawah rumah, dalam keadaan hujan tak berhenti dengan kawasan sekitar telah naik air. Kami kesian tengok semuanya kesejukan dalam basah.

“Jadi pada pukul 3 pagi kelmarin kami pindahkan kambing ke ruang tamu dan sehingga hari ini sudah dua malam mereka tidur di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Rohani, ini merupakan kali pertama mereka tiga beranak menempatkan haiwan berkenaan di rumah selepas kira-kira dua tahun mengusahakan ternakan secara kecil-kecilan.

Katanya, sebelum ini kesemua kambing dibela di kawasan rumah ibunya di Kampung Matang berdekatan dan hanya dipindahkan ke sini tahun ini setelah kandang yang dibina bernilai RM5,000 itu siap. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here