Tiga Sayap UMNO Harap Razif Kekal Sebagai MB Selepas PRU 14

0
991

Tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri di Kuala Nerus berharap Ketua UMNO Bahagian itu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman terus kekal sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu, Khairuddin Abdul Majid berkata, sokongan tidak berbelah bahagi harus diberikan kepada Ahmad Razif selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang akan mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) pada PRU nanti.

Menurutnya, pendekatan Ahmad Razif telah membawa kepada kestabilan politik di Terengganu dan memacu transformasi negeri dengan baik.

“Marilah kita berikan sepenuh ketaatan kepada panglima yang akan memimpin bala tentera kita.

“Dengan rekod cemerlang ini, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus akan terus kekal sebagai Menteri Besar Terengganu,” katanya.

Khairuddin berucap mewakili tiga sayap pada Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Basir Ismail, Ketua Wanita, Norhayati Ismail, Ketua Puteri, Zuraiha Shariza Embong dan para perwakilan.

Mengenai calon kata Khairuddin, tiga sayap itu menyerahkan kepada kepimpinan Ahmad Razif untuk membuat keputusan.

“Kami Wanita, Pemuda dan Puteri telah sepakat, seia dan sekata, soal calon kami serah sepenuhnya kepada kewibawaan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri untuk membuat keputusan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here