TFC tunjuk nelang, ‘tibang parok’ Selangor 4-1 (Gambar & Video)

0
1278
Gaya pemain TFC Raikan gol Lee Tuck. Gambar TFC

Terengganu Football Club (TFC) mempamerkan semangat kebangkitan luar biasa selepas membelasah pendahulu liga Selangor 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Skuda kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang hanya mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan awal seakan menunjukkan permainan sebenar dan menjadikan Red Giants sebagai mangsa pertama musim ini.

Bermain di hadapan 10,000 penyokong sendiri memberi suntikan semangat kepada pemain TFC yang bermula dengan beberapa gerakan berbahaya ke kubu pelawat.

Gandingan pemain tengah Lee Andrew Tuck dan Tchetche Kipre jelas berjaya mengucar-kacirkan benteng Selangor yang kental bertahan.

Jaringan yang ditunggu akhirnya tiba pada minit ke-32 menerusi Lee Tuck hasil sepakan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Norazlan Razali.

Selangor cuba melakukan serangan balas namun keputusan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Mohd Shahrul Aizad Zukufli menambah jaringan tuan rumah di babak kedua pada minit ke-59 selepas berlaku situasi kelam kabut yang gagal diselamatkan oleh Norazlan.

TFC terus menggandakan asakan menerusi percubaan dan berjaya menghasilkan gol ketiga melalui Kipre yang menyudahkan hantaran Lee Tuck minit ke-65.

Anak buah P.Maniam mendapat peluang untuk mencipta gol namun percubaan pemain mereka tidak menepati sasaran.

Lee Tuck melengkapkan malam gemilang pasukan TFC apabila melakukan jaringan cantik selepas tendangan jarak jauh dari kawasan tengah padang mengelirukan Norazlan yang sudah tertewas.

Amri Yahya menyumbangkan jaringan tunggal pelawat menewaskan penjaga gol Mohd Suffian Rahman minit ke-89.

Sementara itu persembahan yang ditunjukkan oleh pemain terbaik perlawanan Lee Tuck mendapat pujian penyokong yang hadir dan berharap pemain itu terus memberi sumbangan buat pasukan.

TFC kini mengumpul 5 mata dan berada di kedudukan keempat selepas tiga perlawanan manakala Selangor turun di tangga ketiga.

Selepas ini TFC akan berkunjung ke Seremban untuk melawan pasukan Negeri Sembilan pada 23 Februari ini. – sumber Terengganu.news

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here