Terengganu jadi skuad utama, T-Team dibarisi 100% anak negeri

0
1379

Penstrukturan semula ke atas dua pasukan iaitu Terengganu dan T-Team akan mula dilaksanakan pada musim depan dengan kedua-duanya mempunyai misi yang berbeza.

Apa yang pasti, transformasi yang akan dilakukan oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk dua skuad ini adalah bersifat jangka panjang dan akan memberi manfaat secara keseluruhan kepada sukan paling popular negeri ini walaupun ada sebilangan kecil peminat yang mempertikaikan keputusan tersebut.

Bagi Terengganu yang dinaik taraf menjadi pasukan utama negeri dan akan dikenali sebagai Terengganu FC I yang akan diperkuatkan dengan pemain tempatan serta import yang berkualiti bagi memberi cabaran dalam saingan Liga Super musim depan.

Manakala untuk T-Team akan digelar Terengganu FC II dan akan beraksi dalam saingan Liga Perdana di mana seratus peratus tonggak Titans adalah anak Terengganu dengan keutamaan diberikan kepada pemain muda.

Pemain Terengganu FA
Pemain T-Team FC

Signifikan langkah ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan untuk pemain belia kerana negeri ini mempunyai ramai pemain muda berpotensi tinggi untuk diketengahkan tambahan pula tujuan T-Team diwujudkan pada 10 tahun lalu adalah sebagai platform mengumpul pemain muda dari seluruh daerah Terengganu yang kemudiannya menjadi pelapis (feeder) kepada pasukan senior Terengganu.

Di samping itu jumlah penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan The Titans amat kurang memberangsangkan jika hendak dibandingkan dengan jumlah penyokong dalam aksi Terengganu walaupun T-Team juga mempunyai pemain ternama.

Kerajaan negeri selaku penyumbang utama sumber kewangan telah merangka pelan transformasi bola sepak untuk jangka panjang merangkumi agenda pembangunan pemain di peringkat akar umbi selain dapat meminimumkan kos pasukan yang sedia maklum semakin meningkat pada setiap tahun.

Penyokong setia Gerila Timur wajar menyokong usaha yang dilakukan secara bersama oleh pengurusan PBSNT dan kerajaan negeri kerana objektif utama adalah memenangi kejuaraan selepas sekian lama gagal membuahkan hasil walaupun pelbagai cara yang telah dibuat.

Justeru apa yang dilakukan oleh PBSNT amat tepat kerana tumpuan harus diberikan kepada sebuah pasukan sahaja dan ia perlu menjadi keutamaan pengurusan dalam sasaran meraih piala dalam Liga Malaysia.

Sementara itu Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu kenyataan hari ini memberitahu segala keputusan belum dimuktamadkan berhubung cadangan penstrukturan semula kedua-dua pasukan dan tertakluk kepada mesyuarat Jawatankuasa PBSNT yang akan diadakan pada masa terdekat. – Terengganu Times

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here