Terengganu FC seri lagi, kongsi mata dengan Kelantan

0
460

Pasukan Terengganu Football Club (TFC) memungut satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kelantan dalam perlawanan kedua Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.

Skuad Peteh yang juga merekod keputusan seri dalam aksi pertama melawan PKNS FC kini mengutip dua mata dan berada di tangga kelima liga.

Perlawanan dua musuh ketat pantai timur jelas mencuri tumpuan penonton dan pasukan Terengganu bermula garang apabila mendapat jaringan seawal minit pertama melalui kapten Tchetche Kipre yang merembat masuk hantaran lintang Ashari Samsudin untuk memperdaya penjaga gol tuan rumah Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan yang terkejut dengan gol berkenaan bingkas melancarkan asakan menerusi penyerang import Korea Do Dong-Hyun namun gagal memecah kebuntuan.

Tuan rumah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 selepas mendapat sepakan penalti yang disempurnakan oleh Dong Hyun akibat bek pelawat Fitri Omar sengaja menjatuhkan Nik Shahrul Azim.

Babak kedua bersambung memperlihatkan permainan Terengganu lebih kemas dengan kemasukan Messi Faiz Nasir yang bijak mengucar-kacirkan pertahanan Kelantan.

TFC hampir menambah gol namun percubaannya ditepis Khairul Fahmi pada minit ke-73 perlawanan dan keputusan kekal hingga tamat permainan.

Selepas ini TFC akan menerima kunjungan Selangor di laman sendiri pada 10 Februari ini. –  sumber Terengganu.news

Kelantan Dan Terengganu Terikat Dalam Saingan Derbi Pantai Timur

Pertarungan melibatkan persaingan derbi Pantai Timur di antara Kelantan dan Terengganu FC berakhir dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan kedua saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 yang berlangsung di Kota Bharu malam tadi.

Keputusan seri itu membantutkan hasrat kedua-dua pasukan dalam usaha memburu kemenangan pertama dalam saingan liga musim ini.

Separuh masa pertama

Skuad kendalian Sathit Bensoh menampilkan barisan yang sedikit berbeza berbanding ketika tewas di Melaka pada Sabtu lalu.

3 pemain yang tidak disenaraikan sebagai kesebelasan utama  tempoh hari diberi kepercayaan turun sebagai pemain utama dalam usaha mencipta kemenangan pertama di arena sendiri.

Penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat, Mohamad Azwan Md Aripin dan pemain muda yang memiliki potensi besar iaitu Nik Akif Syahiran berada dalam kesebelasan utama.

Manakala bagi skuad Penyu pula, Irfan Bakti masih mempertaruhkan kesebelasan utama ketika melayani kunjungan PKNS Sabtu lalu. Sementara itu, pemain import baharu dari Korea Selatan, Lee Jun Hyeob sekadar diletakkan di bangku simpanan.

Terengganu FC memulakan sepak mula separuh masa pertama dan hanya memerlukan 31 saat untuk mendahului melalui penyerang sensasinya, Tchetche Kipre yang menyudahkan hantaran silang Ashari Samsudin dari sebelah kanan pintu gol Kelantan.

Jaringan itu sekaligus memadam rekod gol terawal saingan Liga Super yang sebelum ini dijaringkan oleh penyerang Kelantan, Bruno Lopes.

Skuad tuan rumah cuba bangkit untuk memburu jaringan penyamaan melalui sepakan kencang Ferdinand Sinaga, namun sepakannya pada minit ke-2 itu jauh tersasar.

Peluang terbaik tuan rumah untuk memecah kebuntuan hadir pada minit ke 24, namun Do Dong Hyun yang menyambut hantaran Bruno Lopes gagal menewaskan Mohd Suffian.

Pasukan pelawat dilihat jarang melakukan percubaan berbahaya selepas mendapat gol awal dan hanya memperoleh peluang terbaik pada minit ke 36 untuk menggandakan jaringan melalui gerakan Tchetche Kipre, namun hantaran silangnya itu lambat disudahkan Ashari Samsudin.

Berselang seminit kemudian, Kelantan memperolehi sepakan penalti selepas pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin mengesan kekasaran yang dilakukan Fitri Omar ke atas Nik Shahrul Azim dalam kotak penalti.

Do Dong Hyun tidak mempersiakan peluang itu apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-39 untuk menyaksikan perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan jaringan 1-1.

Separuh masa kedua

Kedua-dua pasukan dilihat meneruskan tempo permainan yang sama seperti separuh masa pertama untuk memburu gol pendahuluan. Irfan Bakti cuba meningkatkan momentum serangan dengan membawa masuk pemain muda, Mohd Faiz Nasir dalam usaha membantu Malik Mat Arif dan Tchetche Kipre di bahagian serangan.

Pertukaran itu jelas menambah variasi serangan pelawat dan dilihat mula menguasai perlawanan. Skuad tuan rumah menyedari akan kelebihan yang ada pada  skuad lawan akhirnya melakukan pertukaran pemain dengan membawa masuk Nor Farhan Mohd untuk mengimbangi perlawanan.

Tiada percubaan yang berbahaya oleh kedua-dua pasukan sehinggalah pada minit ke 71, Tchetche memiliki peluang untuk menambah gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini, namun dua percubaan berturut-turutnya berjaya digagalkan Khairul Fahmi.

Berselang 2 minit kemudian, giliran Kelantan membalas serangan melalui gerakan dari sebelah kiri pintu gol lawan, namun Mohd Suffian lebih tangkas menyambar bola sekaligus menutup ruang Bruno Lopes untuk menanduk masuk ke gawang.

Menjelang penghujung permainan, tuan rumah mendapat peluang untuk mencipta gol kemenangan, namun sepakan percuma Bruno Lopes sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Terengganu.

Kedua-dua pasukan terus buntu memburu gol kemenangan sehinggalah wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan menjadikan perlawanan berakhir dengan kedudukan 1-1.

Kredit foto: Terengganu Football Club, SemuanyaBola

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here