Terengganu City FC, Hanelang FC sasar layak Liga Perdana 2019

0
2195
Jurulatih Hanelang FC Ahmad Yusof dan Jurulatih Terengganu City FC Roshaidi Wahab ketika majlis menandatangani kontrak pemain 2018.

Gabungan pemain sedia ada dan beberapa pemain baru akan memperkuatkan pasukan Terengganu City FC (TCFC) dan Hanelang FC yang akan bersaing dalam saingan Liga FAM pada musim depan.

Pengerusi Tulangis Group Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim selaku penaja yakin kedua-dua pasukan itu berpotensi tinggi memberi cabaran dan sebahagian besar pemain adalah berasal dari Terengganu.

Tambah beliau, pihaknya meletakkan sasaran layak ke Liga Perdana 2019 sebagai KPI untuk Terengganu City FC dan Hanelang FC yang terdiri daripada pemain senior seperti Zairo Anuar Zailani, Haris Safwan Kamal, Hasmizan Kamarodin dan Resafiq Alwi.

‘Idea asal untuk menaja Terengganu City FC datang daripada YAB Menteri Besar sendiri apabila beliau lihat TCFC yang ketika itu berhadapan dengan pelbagai masalah apabila pengurusan lama yang meninggalkan kelab yang menyebabkan pasukan mengalami tunggakan gaji’.

‘Untuk 2018 apabila TCFC menunjukkan potensi yang baik dan kami berharap mampu ke final Liga FAM dan seterusnya layak ke Liga Perdana’.

‘Dengan adanya TCFC dan Hanelang FC dapat dijadikan platform dan memberi peluang kepada pemain Terengganu berbakat menunjukkan permainan di peringkat liga yang kompetitif’ katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Terengganu City FC dan Hanelang FC di Sumai Hotel & Apartment malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Induk Bola Sepak Tulangis Group Mohd Rosdi Mohd Zin, Ketua Jurulatih TCFC Roshaidi Wahab dan Ketua Jurulatih Hanelang FC Ahmad Yusof.

Bagi Roshaidi, untuk musim 2018 seramai 10 muka baru akan diserap masuk dalam kelab dengan mengekalkan kebanyakan pemain dan optimis anak buahnya mampu memperbaiki prestasi yang dilakukan pada musim ini.

Sementara itu Ahmad Yusof merakamkan penghargaan kepada pengurusan Hanelang FC yang memberi kepercayaan kepadanya dan beliau percaya dengan komitmen dari semua pihak akan membuahkan hasil dan mencapai sasaran yang diletakkan oleh pasukan. – Sumber Terengganu.news

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here