STL: Terengganu Turtles libas padu, lebur ego Penang Black Panthers

0
1097
3 set yang penuh debaran, dimana kita dapat saksikan harini rekod tanpa kalah pasukan Penang lebur ditangan Terengganu. Dengan kemenangan ini, pasukan Terengganu telah berjaya memintas pasukan Penang ditakhta liga dengan 3 kemenangan didalam 4 perlawanan.

Terengganu Turtles memecah dominasi Penang Black Panthers dalam tiga aksi terawal Liga Sepak Takraw (STL) apabila meraih kemenangan 2-1 di Stadium MPSJ Serdang Jaya, sebentar tadi. 

Trio Terengganu, Zulkifli Razak, Azwan Muhrim dan Fadzli Roslan memberi saingan sengit kepada penyandang juara, Penang Black Panthers, yang membariskan tekong negara, Syahir Rosdi, Zaim Razali dan Azlan Alias.

Meskipun pelibas Terengganu, Fadzli, dibayangi prestasi sebenarnya sehingga pasukannya bergelut untuk memanfaat beberapa peluang terbaik, mujur kawalan gelanggang mereka lebih kemas berbanding lawan untuk kemenangan 22-20.

Situasi itu menyaksikan Fadzli digantikan dengan pelibas negara, Hanafiah Dollah. Begitupun, Hanafiah sendiri memerlukan sedikit masa untuk mendapat rentak sambil tekong Penang Black Panthers, Syahir, semakin selesa untuk memungut mata melalui servis mengelirukannya untuk melanjutkan permainan ke set ketiga hasil kemenangan 21-17.

Aksi kedua-dua pasukan semakin mendebarkan manakala Hanafiah terus diberi kepercayaan untuk menghukum pihak lawan.

Sungguhpun mendahului selesa pada mata ke-18 dengan jurang empat mata, namun Terengganu melepasi debaran itu dengan melakar kemenangan 21-19.

“Masa mula-mula dimasukkan, walaupun saya merupakan pemain kebangsaan, perasaan gugup itu tetap wujud sehingga saya memerlukan masa untuk menenangkan diri.

“Perlawanan tadi sangat sengit. Walaupun ketinggalan jauh, Penang berjaya mengejar kedudukan.

“Ketika itu, saya percaya kami perlu mencari mata ke-19 untuk kami kembali ke landasan kemenangan,” ujar Hanafiah yang merupakan antara tonggak Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Sementara itu, Perak Bison meraih kemenangan kedua musim ini apabila menundukkan ATM Guardians dalam aksi yang berlarutan sehingga set ketiga.

Masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan Warriors minggu lalu, trio Bison diketuai tekong, Zulfikar Mat Amin , Shohibul Fadilah Salam serta Fadzil Mustafa di bahagian apit kiri dan kanan.

Wakil Perak itu mempamerkan penguasaan pada penghujung set pertama. Selepas mengikat kedudukan 15-15, Bison hanya melepaskan satu mata kepada ATM Guardians untuk menamatkan aksi tersebut dengan kemenangan 21-16.

Bagaimanapun, momentum perlahan pada awal set kedua memberi padah buat Bison apabila gagal mengejar kedudukan ATM untuk akur terlepas set tersebut dengan kekalahan 21-18.

Seakan diberi pengajaran daripada set terdahulu, Bison meraih tiga mata pertama dalam aksi awal set penentuan yang nyata memberi keyakinan buat mereka mengharungi sepanjang aksi sengit itu sebelum menang 21-19.

Dalam satu lagi aksi, Kuala Lumpur tidak menghadapi masalah untuk menundukkan Selangor 2-0 (23-21, 21-14). – stadiumastro

Hanafiah Dollah digelar king off sunback Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here