Sotong Terengganu Tiada Virus, Hanya Sebaran Palsu Berniat Jahat

0
187

JABATAN Perikanan Negeri Terengganu menafikan dakwaan individu mengenai bekalan sotong di negeri itu dicemari sejenis virus seperti tular melalui Facebook (FB) sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Zawawi Ali berkata, dakwaan terbabit tidak benar dan orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan tuduhan itu.

Menurutnya, pihaknya sudah mengarahkan Persatuan Nelayan Negeri Terengganu membuat laporan polis dan berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) menyiasat mengenai dakwaan yang tular itu.

Perkara itu ditularkan dengan mendakwa lambakan sotong di Terengganu berlaku disebabkan ramai pengguna enggan membeli sotong.

“Selain itu, turut didakwa berlaku air pasang besar di perairan Kelantan dan Terengganu awal bulan ini menyebabkan sotong yang ditangkap dicemari virus yang belum dikenal pasti,” katanya.

Dakwaan itu tular selepas ia dimuat naik seorang pemilik akaun FB pada 4 Oktober lalu.

Individu berkenaan mendakwa sotong tidak laku dibawa ke Pasar Borong Selayang, Selangor, dan dia memberi amaran supaya orang ramai tidak membeli sotong kerana dibimbangi terbeli hasil laut dari Terengganu.

Zawawi berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di dua pasar iaitu di Pasar Payang dan Pasar Cabang Tiga serta di Kompleks Perikanan Pulau Kambing di Kuala Terengganu.

“Hasil siasatan mendapati tiada lambakan sotong seperti didakwa dan peniaga sotong juga mengakui bekalan sotong tidak mencukupi berikutan permintaan tinggi.

“Kejadian air pasang besar juga tidak berlaku di negeri ini dan ia jelas membuktikan dakwaan terbabit tidak berasas,” katanya.

Menurutnya, orang ramai di negeri itu diminta tidak terpengaruh dengan dakwaan berkenaan dan beliau memberi jaminan sotong di Terengganu selamat dimakan.

“Kita juga tidak menerima sebarang laporan daripada orang ramai yang mengalami keracunan akibat daripada memakan sotong yang ditangkap dari negeri ini.

“Kita juga melalui bahagian Keselamatan Bio sudah mengambil sampel sotong di beberapa pasar dan hasil ujian mendapati tiada kewujudan virus pada sotong terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu Mat Yassim Mohamed ketika dihubungi mengesahkan sudah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan mengenai dakwaan terbabit kira-kira jam 11 pagi hari ini. HM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here