Shahnon minta dibacakan surah Yasin di telinga sejak seminggu lalu

0
1452

KUALA LUMPUR – Seakan sudah mengetahui ajalnya hampir tiba, sasterawan negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad meminta ahli keluarga terdekatnya membacakan surah Yasin di telinganya.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun di Hospital Pakar KPJ Kajang pada pukul 7.30 pagi tadi meminta dipedengarkan ayat suci berkenaan dengan bacaan yang kuat kerana tidak mampu mendengar dengar baik selain faktor kesihatannya.

Cucu Allahyarham, Muhammad Shakir Asrul Sani, 25, berkata, datuknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan pada pagi Sabtu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Katanya, selepas diberikan ubat antibiotik paling kuat pada hari Allahyarham dimasukkan ke wad, keadaannya semakin pulih semalam dan keluarga menjangkakan Shahnon akan dibenarkan keluar hospital hari ini.

“Namun, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi kami dimaklumkan bahawa datuk sudah tiada. Allahyarham sejak seminggu ini menyuruh kami membacakan surah Yasin di telinganya.

“Ini kerana dia sudah tidak berapa dengar dan jika hendak bercakap dengannya pun kena dengar suara yang kuat,” katanya kepada Utusan Online dekat sini hari ini.

Allahyarham Shahnon meninggalkan seorang balu, tiga anak dan 14 orang cucu yang mana pengurusan jenazahnya dilakukan di Surau Madani, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dekat sini dan disemadikan selepas solat Zuhur.

Penulisan Allahyarham seperti Rentong (1965) dan Ranjau Sepanjang Jalan (1973) cukup popular dalam menegakkan suara dan hak-hak golongan petani dan warga desa. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here