‘Saya nampak mata Bihah lebam, dia cakap dia jatuh’ – Jiran mangsa

0
1002

PORT DICKSON: “Dia seorang kanak-kanak yang baik dan periang, namun berubah menjadi pendiam pada malam kejadian,” kata jiran kepada Nur Aina Nabihah (Bihah), 9, yang meninggal dunia dipercayai akibat didera bapanya.

Jiran mangsa yang enggan dikenali itu, berkata kanak-kanak malang itu bersama abangnya yang berusia 11 tahun belajar mengaji al-Quran di rumahnya.

“Sepanjang dua tahun saya mengajarnya mengaji, Bihah cepat menerima apa yang diajar dan tidak pernah walau sekalipun menceritakan kejadian dia dipukul ayahnya kepada saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang tinggal berhadapan dengan rumah mangsa mengakui sering mendengar bapa mangsa menjerit memarahi anak-anaknya daripada dalam rumah.

“Saya juga selalu nampak mata Bihah lebam tetapi bila ditanya, Bihah cuma cakap dia jatuh di rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jiran berkata suspek seorang peramah dengan jiran dan sering berkelakuan seperti tiada apa yang berlaku.

“Saya tidak sangka perangai dia macam itu sebab beliau mempamerkan imej alim dan saya selalu mendengarnya membaca al-Quran,” katanya.

Terdahulu, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan membawa suspek dan isterinya yang juga ibu tiri mangsa ke rumah yang didiami mangsa bersama mereka, bagi mengumpul bahan bukti.

Kira-kira 30 minit kemudian, Unit Forensik dilihat membawa keluar bahan bukti berupa tali pinggang tentera dan sebuah bangku kecil yang sudah patah.

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas tidak sedarkan diri di kediaman keluarganya di Lukut dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa yang berusia sembilan tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapanya di rumah mereka.

Pemeriksaan ke atas badan kanak-kanak itu mendapati terdapat kesan lebam dan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah pada organ dalaman seperti putus pankreas, hati terkoyak, cedera buah pinggang, usus terkoyak serta tulang rusuk kanan patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Kes disiasat mengikut Sekysen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here