Sanggupkah pembangkang kerah pengikut ke Ekspo Terengganu 2018?

0
359

Pihak pembangkang di negeri ini wajar mengerah setiap pengikut mereka untuk hadir ke Ekspo Terengganu 2018 yang akan berlangsung pada 25 Februari sehingga 3 Mac depan.

Ini membolehkan mereka menyaksikan kejayaan negeri Terengganu dalam pelbagai bidang dan memberikan komen apa yang perlu ditambah baik.

Biar setiap pengikut mereka melihat dengan mata sendiri pembangunan yang telah dibawa ke Terengganu seterusnya mengelakkan tersalah lapor seperti apa yang terjadi kepada Taman Ilmu Besut baru-baru ini.

Pengikut pembangkang tidak sepatutnya malu untuk hadir ke program sebegini demi mencari kebenaran daripada terus membuat andaian tanpa usul periksa.

Mereka perlu mengamalkan sikap positif dan sentiasa menyebarkan kebenaran walaupun pahit untuk ditelan.

Ekspo selama 7 hari itu akan dilangsungkan di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.

Sementara itu, MB Razif berkata, ekspo itu diadakan bagi berkongsi serta mempersembahkan kemajuan yang dikecapi Terengganu kepada seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia.

“Ekspo ini merupakan platform bagi Kerajaan Negeri untuk menyampaikan maklumat yang tepat secara langsung, terutamanya berkaitan dengan pencapaian semasanya yang akan meningkatkan keyakinan di kalangan rakyat.

“Ianya akan menjelaskan kepada masyarakat terutamanya generasi muda, ke mana Terengganu akan dibawa dan apakah bentuk masa depan yang bakal dicapai serta cabaran-cabaran yang perlu dilaluinya,” katanya.

Menurutnya lagi, tiga kluster utama yang akan dipaparkan pada ekspo itu nanti adalah Kluster Kerajaan Negeri, Kluster Daerah serta Kluster Portfolio.

“Kluster Kerajaan Negeri akan menceritakan pencapaian, perancangan dan inisiatif-inisiatif semasa Kerajaan Negeri, manakala Kluster Daerah mengetengahkan pencapaian dan perancangan pembangunan spesifik bagi setiap lapan daerah yang setiap satunya mempunyai keunikan dan potensi yang tersendiri”

“Kluster Portfolio pula dibahagikan kepada 10 portfolio yang dipertanggung jawabkan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu”

“Kluster ini akan memaparkan tawaran-tawaran, pelbagai insentif, skim-skim bantuan, peluangpeluang pekerjaan, dan banyak lagi perkhidmatan daripada agensi-agensi yang menyertai ekspo ini,” katanya.

Selain aspek pameran, tambahnya pihak penganjur menawarkan pelbagai aktiviti dan programprogram yang menarik sepanjang tujuh hari ianya berlangsung bagi membolehkan para pengunjung mendapatkan maklumat, menikmati perkhidmatan yang ditawarkan, membeli-belah, berhibur, beramal dan bersantai.

“Antara pengisian penting dalam ekspo ini jelasnya, ialah Forum Kerjaya, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Karnival Jualan IKS dan Majlis Perkahwinan Perdana yang melibatkan lebih 30 pasangan.

“Aktiviti-aktiviti menarik dan santai turut tidak dilupakan, antaranya pertandingan e-sports, dan persembahan Sound of Terengganu serta penampilan artis-artis popular tanahair,” katanya.

Dalam pada itu pihak penganjur juga menawarkan hadiah pengunjung bertuah utama di hari terakhir ekspo yang berupa sebuah rumah, satu lot tanah perumahan, satu lot tanah pertanian, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda kepada pengunjung-pengunjung bertuah.

“Kita juga tawarkan hadiah-hadiah penganjur bertuah setiap hari yang berbentuk sebuah motosikal, barangan-barangan elektrik dan elektronik kepada para pengunjung, justeru orang ramai tidak harus melepaskan peluang untuk hadir dan menikmati manfaat yang ditawarkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here