Remaja 16 tahun hilang ketika hadiri ujian JPJ

0
6015

BATU PAHAT: Seorang remaja perempuan yang dalam perjalanan untuk menghadiri Ujian Berkomputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hilang, dengan skuternya ditemui di persimpangan masuk Estet River, Yong Peng, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, skuter yang dinaiki mangsa Nur Aliyah Haslan, 16, ditemui kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Taman Berjaya, Yong Peng.

Bapa mangsa, Haslan Hamidin, 45, berkata anak sulungnya itu dalam perjalanan ke rumah rakan bagi menemankan menghadiri ujian berkenaan.

Katanya, beliau yang bertugas di Kuala Lumpur itu sempat menelefon anaknya kira-kira jam 6 pagi untuk solat Subuh selain menasihatkannya supaya cuba menjawab ujian berkenaan sebaiknya selepas gagal dalam dua ujian sebelum ini.

“Malah 15 minit sebelum Nur Aliyah keluar rumah, dia sempat menghantar Whatsap memaklumkan akan menjemput kawannya dahulu sebagai teman selain meminta saya mendoakannya supaya lulus dalam ujian kali ini.

“Namun kira-kira jam 9.30 pagi, saya dihubungi Balai Polis Yong Peng memaklumkan skuter ditunggangi anak ditemui orang awam di persimpangan masuk Estet River. Malah, cubaan untuk menghubungi telefon bimbitnya gagal.

“Rakannya juga memaklumkan anak saya tidak datang menjemputnya bagi menemankan ke ujian berkenaan, dan pihak di JPJ Batu Pahat turut mengesahkan anak saya tidak hadir dalam ujian berkenaan.

“Lebih merisaukan kami sekeluarga, rakan anak saya yang bekerja bersamanya di sebuah restoran makanan segera di Yong Peng, memaklumkan pernah mengadu diekori orang tidak dikenali beberapa hari lalu namun tidak pula memaklumkan kami sekeluarga,” katanya kepada BH.

Haslan berkata, anak sulungnya itu seorang yang berdikari dan baru berkhidmat secara separuh masa di restoran makanan segera berkenaan cuti sekolah ini bagi mencari pengalaman dan wang saku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa mengesahkan kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat mangsa diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat atau balai yang berhampiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here