Rakyat semakin bijak buat penilaian, mahu nasib dibela – Annuar Musa

0
203

PERMAISURI – Rakyat di negara ini semakin bijak membuat penilaian terhadap sesuatu isu terutamanya melibatkan perkembangan semasa politik tanah air.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kebanyakan mereka kini lebih suka untuk mencari kebenaran sebelum mempercayai sesuatu tuduhan atau tohmahan yang dilemparkan.

“Sebagai contoh Perhimpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi yang dianjurkan Pakatan Harapan semalam gagal mendapat sambutan walaupun diadakan di kubu kuat mereka dengan menampilkan beberapa pemimpin kanan.

“Ini menunjukkan satu isyarat bahawa rakyat masa kini semakin cerdik dalam menilai sesuatu isu dengan mencari kebenaran sebelum mempercayainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan For All, di Dewan Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, di sini, malam tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Profesor Madya Jabatan Perhubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Muhammad Fuad Othman sebagai ahli panel.

Dalam pada itu, Annuar berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu terus fokus dalam mendengar setiap permasalahan rakyat serta mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kita tidak boleh terikut-ikut dengan langkah diambil pihak pembangkang kerana apa yang rakyat mahu nasib mereka dibela dan bukannya dilaung-laungkan.

“Apabila kerajaan berjaya meyakinkan rakyat bahawa segala rintihan dan luahan mereka diambil berat, rakyat pasti mengundi kita sebagai kerajaan,” katanya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, platform Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan For All yang sudah kali ke-13 diadakan itu adalah satu program terbaik untuk mendengar rintihan dan keluhan rakyat secara dekat.

“Kerajaan perlu mengambil berat tentang situasi semasa rakyat dengan mendengar masalah mereka, walaupun ia tidak dapat diselesaikan dengan kadar segera namun kerajaan perlu fokus untuk menyelesaikannya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here