Proton Wira, Toyota Hilux Paling Digemari Pencuri

0
547

LARIS… Proton Wira dan Toyota Hilux terus menjadi model tertinggi hilang dalam tempoh 12 bulan pada tahun lalu, berdasarkan tuntutan kes kecurian oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Namun mengikut statistik yang dikeluarkan PIAM, berdasarkan rekod tuntutan insurans membabitkan kereta persendirian, motosikal dan kenderaan komersial mencatatkan penurunan sebanyak 23 peratus secara keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim, berkata pada tahun lalu, sebanyak 654 unit Proton Wira dan 537 unit Toyota Hilux direkodkan bagi membuat tuntutan kes kecurian menjadikan dua model itu adalah antara tertinggi.

Beliau seterusnya berkata bahawa syarikat insurans membayar RM14.7 juta setiap hari bagi kes membabitkan tuntutan insurans kenderaan dicuri sepanjang tahun lalu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5.38 bilion.

“Jumlah ini mencatatkan peningkatan tujuh peratus berbanding jumlah keseluruhan yang dibayar bagi sepanjang 12 bulan pada 2016 iaitu RM5.02 bilion, membabitkan tuntutan akibat kes kemalangan, kerosakan dan kecurian.

“Angka ini dilihat membimbangkan kerana syarikat insurans perlu membayar jumlah tinggi pada tahun lalu dan ia memerlukan lebih banyak inisiatif bagi memastikan kejadian seperti jenayah kecurian dapat dielakkan,” katanya.

Lim berkata demikian pada taklimat media mengenai prestasi sektor insurans am Malaysia di Wisma PIAM, di ibu negara hari ini. Selain Proton Wira dan Toyota Hilux, Perodua Kancil pula berada di kedudukan ketiga selepas itu.

Model tersebut merekodkan kehilangan 378 unit, diikuti Proton Iswara (340 unit), Perodua Myvi (290 unit), Proton Waja (231 unit), Proton Saga (214 unit), Honda Civic (133 unit), Honda City (119 unit) dan Toyota Vios (117 unit).

Beliau menambah, menurut perangkaan sama, jumlah kenderaan persendirian yang membuat tuntutan kecurian pada tahun lalu sebanyak 5,625 unit, tetapi jumlahnya berkurangan daripada 7,610 unit pada tahun sebelumnya.

“Bagi motosikal, jumlah yang buat tuntutan kecurian pada tahun lalu ialah 8,874 unit (2016: 11,009 unit) manakala kenderaan komersial, jumlah tuntutan kecurian pada tempoh sama sebanyak 824 unit (2016: 1,386 unit),” katanya.

Langkah liberalisasi insurans motor diperkenalkan sejak 1 Julai tahun lalu juga membolehkan pemilik kenderaan mendapatkan polisi terbaik bagi memastikan menerima perlindungan sewajarnya bagi kenderaan masing-masing.

Mengulas lanjut, Lim berkata, penubuhan Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia Berhad (VTREC) turut beri kesan positif dalam usaha atasi masalah kecurian dan dilihat mencatatkan corak penurunan kes setiap tahun.

“VTREC bukan saja membabitkan pihak insurans, namun turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan selain disokong Bank Negara Malaysia,” katanya.

Sementara itu, jumlah tuntutan kecurian kenderaan berdasarkan kekerapan pula menunjukkan Toyota Vellfire (112 unit) dan Mitsubishi Pajero (77 unit) antara model ‘hangat’ kerap dicuri pada 2017 iaitu pada kadar 0.26 peratus.

Antara model lain turut kerap menjadi mangsa curi di negara ini termasuklah Toyota Hilux, Peugeot 308, Peugeot 508, Nissan Vanette, Lexus RX350, BMW 7, Proton Perdana dan Ford Courier. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here