Piala Asia: Faizal cipta hatrik bantu Malaysia benam China

0
273

Skuad hoki lelaki negara memulakan misi memburu Piala Asia dengan melakar kemenangan besar 7-1 ke atas China dalam perlawanan pertama Kumpulan B di Dhaka, Bangladesh, sebentar tadi.

Tidak seperti pasukan lain, Malaysia, India dan Pakistan boleh menarik nafas lega kerana telah layak ke Piala Dunia di India, tahun depan.

Namun, skuad negara tidak mengambil mudah kejohanan ini, sebaliknya mereka ingin menjuarai Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah bagi mencari tonik terbaik untuk menghadapi Piala Dunia.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menyudahkan gol padang pada minit ke-12.

China cuba bangkit, namun gagal mengawal pergerakan pemain negara dan kemudian giliran Faizal Saari pula menggandakan jaringan buat Malaysia pada minit ke-17.

Malaysia, yang kelihatan selesa mengawal perlawanan, dihadiahkan dengan gol ketiga dua minit kemudian, sekali lagi hasil jaringan Tajuddin.

Pada suku ketiga, Faizal meledakkan gol keempat skuad negara dan hanya beberapa minit kemudian giliran Shahril Saabah pula menyumbat gol kelima negara, sekali gus tidak memberi ruang untuk China bangkit.

Gawang China kemudiannya dibolosi buat kali keenam selepas Faizal menyempurnakan jaringan padang yang juga gol hatriknya dalam perlawanan ini pada minit ke-41.

China memperolehi gol saguhati menerusi E Wenhui sebelum Ramadan Rosli melengkapkan jaringan ketujuh Malaysia.

Malaysia seterusnya akan bertemu Korea Selatan pada jam 7.30 petang, Sabtu ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here