Pendakap Gigi Palsu Undang Penyakit Berbahaya

0
184

PENGGUNAAN pendakap gigi yang palsu atau pemasangan pendakap gigi oleh individu yang tidak bertauliah boleh mengundang pelbagai jenis risiko dan penyakit berbahaya seperti tibi.

Timbalan Presiden Persatuan Pergigian Islam Malaysia (IDAM), Dr. Abu Razali Saini berkata apa menjadi kebimbangan adalah kepentingan kesihatan mangsa yang mendapat perkhidmatan seperti itu.

Ini terutamanya isu jangkitan silang yang disebabkan oleh penggunaan peralatan dan persekitaran yang tidak bersih sehingga boleh menyebabkan jangkitan.

“Selain tibi, hepatitis juga boleh jangkit menerusi air liur. Penyakit ini serius dan tidak boleh dibawa main,” katanya kepada Bernama selepas temu bual dalam program Nine11, di saluran televisyen Bernama News Channel hari ini.

Beliau yang telah berkhidmat sebagai doktor gigi selama 20 tahun berkata prosedur operasi standard di klinik pergigian kerajaan dan swasta amat ketat serta perlu dipatuhi pemilik bagi elak jangkitan silang ini berlaku.

“Klinik pergigian di negara dikawal selia dan dipantau oleh agensi seperti Unit Kawalan Amalan Kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia supaya tidak berlakunya penyebaran penyakit.

“Ia lebih selamat berbanding rawatan yang dibuat sendiri atau individu tidak bertauliah,” katanya yang juga Presiden Dentistry For the Needy (DFTN).

Dr. Abu Razali berkata sehubungan itu, semua mangsa yang pernah mengggunakan pendakap gigi palsu atau mendapatkan perkhidmatan daripada mereka yang tidak bertauliah digalakkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan dan komplikasi penyakit.

Sementara itu, Setiausaha DFTN, Dr. Nor Azura Ahmad Tarmidzi berkata pemasangan pendakap gigi bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan tidak boleh dilakukan sembarangan.

Malah ia boleh mendatangkan kesan buruk antaranya kehilangan gigi akibat terputusnya pengaliran darah ke gigi, sekiranya tidak dilakukan dengan betul.

Dr. Nor Azura menambah jumlah mangsa yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan termasuk klinik pergigian di institut pengajian tinggi untuk memperbetulkan semula gigi mereka juga semakin meningkat sejak tahun lepas.

“Kesedaran masyarakat mengenai bahayanya pendakap gigi (yang) palsu ini semakin meningkat. Seterusnya badan bukan kerajaan (NGO), agensi penguatkuasaan dan masyarakat perlu untuk terus memberikan kesedaran mengenai pendakap gigi palsu ini,” katanya.

Mengulas mengenai IDAM, Dr. Abu Razali berkata IDAM adalah sebuah NGO yang membantu memberikan pemeriksaan dan rawatan pergigian percuma kepada mereka yang memerlukan.

“Sasaran kita adalah golongan gelandangan, pelarian seperti Rohingya, rumah orang tua dan anak yatim serta Orang Asli. Kita ada banyak program yang turut melibatkan NGO lain. Kita beri pemeriksaan pergigian, khidmat nasihat, pembersihan karang dan plak gigi termasuk gigi palsu,” katanya.

Katanya penyertaan sebagai sukarelawan dibuka kepada semua yang terlibat dalam bidang pergigian termasuk orang awam untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.

“Kepada yang berminat boleh layari laman web kami di www.idam.my dan kami juga mengalu-alukan sumbangan dana orang ramai untuk menyumbang kepada aktiviti ini (CIMB: 8602887467, Persatuan Pergigian Islam Malaysia),” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here