Pemandu Grab tidak mengaku rogol, samun pelajar IPTA

0
441

SHAH ALAM – Seorang pemandu Grab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan merogol seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi, minggu lalu.

Tertuduh, Amirulfaizal Amiruddin, 27, juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, terhadap pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa berusia 22 tahun itu serta menyamunnya.

Baca: Tanya, tarik, rogol…

Baca: Kes samun dan rogol penuntut IPTA, pemandu Grab ditahan

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) iaitu merogol mangsa dan meletakkan wanita itu dalam ketakutan kematian di bawah pokok belakang sebuah apartmen di Jalan Keluli, Seksyen 7 di sini antara pukul 8.30 sehingga 10.30 malam pada 1 November lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara antara 10 hingga 30 tahun dan dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, Amirulfaizal didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama iaitu melakukan persetubuhan luar tabii secara memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa tanpa kerelaan di tempat, tarikh serta masa sama, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 20 tahun serta disebat.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 392 yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, menyamun telefon bimbit Samsung J2 Prime dan wang tunai RM100 secara mengancam mangsa dengan bersenjatakan sebilah pisau di lokasi dan masa sama, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun, didenda serta sebatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula pertuduhan yang dihadapi tertuduh, selain membolehkan tertuduh melantik peguam.

Tertuduh tidak ditawarkan jaminan. BERITA HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here