Pehimi terima tawaran PhD dari UUM

0
594

JERTIH – Cabaran daripada keluarga menjadi salah satu pendorong kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof untuk menerima tawaran daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di institusi itu.

Ternyata kesibukan tugas sebagai wakil rakyat tidak menghalang beliau yang juga Adun Jertih untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi itu selepas berjaya memperolehi Sarjana dari universiti sama pada November tahun lepas.

Muhammad Pehimi berkata, beliau menerima tawaran melanjutkan pengajian peringkat PhD dalam kerja sosial dengan pengkhususan kajian dalam bidang pertanian setelah menerima cabaran daripada ahli keluarga agar beliau menuntut ilmu sehingga peringkat tertinggi.

Menurutnya, bidang ini juga dekat di hatinya kerana sebelum ini beliau mempunyai asas pengajian dalam bidang pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) di samping kerjayanya selama 22 tahun dalam bidang sama.

“Sekarang kebetulan pula saya memegang fotfolio kerajaan negeri juga dalam bidang pertanian dan saya harap supaya hasilnya nanti dapat dimanfaat rakyat seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendaftar untuk mengikuti pengajian tersebut di UUM, Sintok Kedah pagi tadi.

Muhammad Pehimi yang ditemani isterinya, Toh Puan Roslida Daud menyerahkan borang penerimaan tawaran dan pendaftaran kepada Dekan Pusat Pengajian Siswazah Awang Had Salleh, Prof Dr Abdul Syukur Shaari.

Katanya, tawaran ini sangat bermakna buat dirinya dan ia adalah satu cabaran untuk memastikan beliau menghabiskan pengajian dengan jaya selain menjadi motivasi kepada keluarga dan anak-anaknya.

“Antara kajian dalam melengkapkan pengajian yang memakan masa tiga tahun setengah ini saya akanh mengkaji dasar yang dirangka kerajaan melalui agensi pertanian dan kesannya kepada petani,” katanya yang sebelum ini memperolehi Ijazah Sarjana dalam kerja sosial dengan kajian tentang ibu tunggal.

Muhammad Pehimi berkata, langkah ini diharap turut menjadi perangsang kepada wakil rakyat lain dan masyarakat untuk membudayakan konsep pembelajaran sepanjang hajat tanpa mengira jenis dan status pekerjaan.

Sementara itu Abdul Syukur berkata, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak melahirkan rasa bangga kerana ada exco kerajaan negeri dan orang kenamaan memilih UUM untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, UUM memang mengalakkan orang kenamaan dan pelbagai pihak untuk melanjutkan di universiti tersebut termasuk menawarkan kursus Pengurusan Industri Kreatif bagi memberi peluang kepada golongan arti dan pengiat seni melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Seramai 140 orang pelajar dari dalam dan luar negara termasuk Muhammad Pehimi telah mendaftar mengikuti pengajian peringkat PhD di bawah Pusat Pengajian Siswazah Awang Had Salleh setakat hari ini . Pusat pengajian ini mempunyai lapan fakulti.

Kata Abdul Syukur lagi, Muhammad Pehimi akan mengikuti program di bawah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan Dasar dan Kerja Sosial yang dipimpin dekannya, Prof Madya Dr Noor Azniza Ishak.

Sementara itu menurut Ketua Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab Halim Hassan berkata, beliau akan jadikan Muhammad Pehimi sebagai ikon kepada guru-guru di bawahnya untuk meneruskan pengajian walaupun sibuk.

Menurutnya, langkah Muhammad Pehimi membuktikan beliau mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan menjadi contoh kepada warga pendidikan Besut. SINAR HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here