PE-TUNJANG PERTAMA : Menangani isu peningkatan kos sara hidup – MB Razif

0
137

Mengurangkan beban rakyat dalam menangani isu PENINGKATAN Kos Sara Hidup

Touchpoint pertama – Bagi meningkatkan pendapatan dan menggalakkan rakyat, khasnya golongan muda menceburi perniagaan dan keusahawanan, maka Kerajaan akan menambahbaik Projek Infra Niaga. Sebanyak 12.75 juta ringgit diperuntukkan bagi menambah ruang-ruang niaga, kiosk dan premis-premis jualan di samping menaiktaraf kemudahan untuk berniaga yang ada.

Touchpoint kedua – Program Perkahwinan Perdana TTB yang diperkenalkan Kerajaan Negeri kita, telah terbukti berjaya membantu dan meringankan beban kewangan pasangan yang ingin berkahwin.

Malah, ianya diiktiraf dalam Malaysia Book of Records. Alhamdulillah, setelah 2 tahun ia dilaksanakan, hampir 500 pasangan telah melangsungkan perkahwinan melalui program ini. Kos dapat dijimatkan. Sambutan majlis tetap meriah. Ianya menjadi keunikan yang tersendiri dan kenangan abadi yang tidak mungkin dapat dilupakan pasangan pengantin.

Pokok kepaya tumbuh di bukit,

Buahnya tawar pohon ditebang,

Cintanya saya bukan sedikit,

Racun penawar Dinda seorang.

Program-program kekeluargaan lain yang berkaitan juga banyak dilaksanakan termasuklah Program Pasca Perkahwinan, Program Semarak Kasih dan Forum Perdana Cakna Keluarga. Seramai 4,000 pasangan telah mendapat manfaat daripada program-program ini.

Oleh kerana program-program ini menjadi cerita kejayaan yang sangat baik, dan bagi memperkukuhkan lagi institusi kekeluargaan, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan 3 juta ringgit untuk program-program yang tersebut bagi tahun 2018.

Kerajaan Negeri kita juga bersetuju untuk menghulurkan bantuan 1 ribu ringgit bagi setiap ibu atau bapa tunggal yang akan berkahwin. Untuk tujuan itu, 1 juta ringgit lagi akan diperuntukkan dalam Bajet kali ini.

Touchpoint ketiga – Program Jayadiri yang dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga telah memberi peluang baharu kepada ramai, terutama golongan ibu tunggal dan suri rumah. Ianya berkonsepkan pinjaman perniagaan tanpa faedah, cagaran dan jaminan. Sejak tahun 1995, sejumlah 65.31 juta ringgit pinjaman telah diagihkan kepada 18,285 orang peminjam yang rata-ratanya adalah golongan hawa.

Salah satu cerita kejayaan Program Jayadiri ialah pengusaha Nasi Dagang Atas Tol. Kedai makan milik Puan Rohana binti Yussof yang hanya bermula dengan pinjaman sebanyak 1,500 ringgit pada tahun 2001, kini telah berkembang sehingga memberikan beliau sekeluarga pendapatan yang lumayan.

Malah, ianya cukup dikenali sebagai kedai makan yang menyediakan makanan tradisional selain nasi dagang seperti pulut gaul nyior, yang kerap dicari oleh orang ramai dan para pelancong. Kita ucap tahniah kepada Puan Rohana.

Bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai usahanita khasnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan 2 juta ringgit untuk Program Jayadiri 2018. Pinjaman mudah ini dijangka memberi manfaat kepada 500 orang usahawan.

Touchpoint keempat – Program Saguhati Kelahiran Anak Terengganu ialah sumbangan yang diberi sebagai tabungan untuk anak-anak Terengganu yang baharu lahir. Program ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri sejak tahun 2015.

Alhamdulillah, program yang seumpamanya turut akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat di seluruh Negara dan melalui Bajet Negara 2018 baru-baru ini, ia dijenamakan sebagai ADAM50.

Demi kebaikan anak-anak kita, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan Program Saguhati Kelahiran Anak Terengganu ini dengan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit. Ianya akan menambah nilai kepada Program ADAM50.

Touchpoint kelima – Kerajaan Negeri kita sangat prihatin dengan kesejahteraan rakyat khasnya golongan B40. Bagi mengurangkan beban dan sebagai salah satu usaha menangani isu peningkatan kos sara hidup, maka Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Membantu Rakyat (PMR).

Melalui Program ini, Kerajaan Negeri akan menyediakan kad keahlian untuk 3,666 Ketua Isi Rumah (KIR) yang tersenarai dalam senarai e-kasih. Penerima kad ini akan mendapat subsidi bagi setiap pembelian barangan keperluan asas di T-Mart dan kedai-kedai terpilih setiap bulan. Sebanyak 2.64 juta ringgit diperuntukkan bagi program ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Touchpoint keenam – Mutakhir ini, ramai rakyat yang mula berkecimpung dalam dunia perniagaan. Kerajaan Negeri sedar dan bersedia untuk membantu. Bagi memperkasa golongan usahawan, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju memperuntukkan 2 juta ringgit melalui Skim Dana Usahawan (SDU) untuk membantu mendapatkan dana menjalankan perniagaan.

Skim ini meliputi pinjaman dalam bentuk Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF), Skim Pinjaman Usahawan Desa (SPUD), Skim Pinjaman Online Business (SPOB) dan Skim Pinjaman Kecil (SPK).

Kita juga sedar dan mengalu-alukan minat untuk berniaga melalui konsep Food Truck (dengan izin). Malah, Kerajaan Negeri sentiasa melibatkan pengusaha Food Truck dalam pelbagai program.

Melalui pembentangan Bajet Negeri 2018 kali ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan bantuan pinjaman Skim Pembiayaan Food Truck di bawah Skim Pinjaman Tanpa Faedah Al-Ijarah, dengan maksima pinjaman sebanyak 75 ribu ringgit. Skim ini sekaligus dijangka dapat memberi manfaat langsung kepada 135 orang usahawan.

Touchpoint ketujuh – Setiap tahun, Kerajaan Negeri kita akan menghulurkan sumbangan Dana Raya Aidilfitri. Sumbangan ini bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan dan sekaligus merancakkan lagi ekonomi Negeri melalui peningkatan perbelanjaan domestik.

Bilangan penerima adalah besar. Dalam tahun 2017, bilangan Ketua Isi Rumah yang menerima dana ini ialah seramai 240,294 yang menelan belanja 89.09 juta ringgit.

Berita baik untuk tahun 2018 ini, syarat kelayakan untuk pendapatan bagi mereka yang layak menerima Dana Raya Aidilfitri akan dinaikkan daripada 2,500 ringgit kepada 3,000 ringgit.

Dengan kenaikan syarat pendapatan ini, bilangan penerima dianggarkan meningkat kepada 264,294 Ketua Isi Rumah, menjadikan peruntukan keseluruhan Kerajaan Negeri kepada rakyat melalui Dana ini ialah sebanyak 99 juta ringgit.

Touchpoint kelapan – Berita baik untuk orang muda dan golongan remaja, Kerajaan Negeri bersetuju bukan sahaja untuk meneruskan Dana Bakti Remaja bagi tahun 2018, bahkan, memperkasa program ini dengan melonggarkan syarat kelayakan untuk pendapatan mereka yang layak, iaitu daripada pendapatan 1,500 ringgit ke bawah kepada 2,000 ringgit ke bawah.

Dengan menaikkan syarat pendapatan ini, jumlah peruntukan untuk Dana Bakti Remaja akan meningkat daripada 22.7 juta ringgit kepada 27 juta ringgit tahun hadapan. Kerajaan Negeri berharap para penerima akan menggunakan dana yang diberi Kerajaan Negeri dengan baik dan bermanfaat.

Touchpoint kesembilan – Kajian menunjukkan bahawa kanser payudara dan kanser pangkal rahim adalah antara dua pembunuh utama kaum hawa akhir-akhir ini. Sebagai satu manfaat langsung kepada semua wanita, khasnya mereka yang berumur 35 tahun ke atas, Kerajaan Negeri kita bersetuju untuk memperkenalkan Program Pemeriksaan Mamogram dan Pap Smear Percuma.

Program pemeriksaan mamogram dan pap smear ini bertujuan untuk mengesan penyakit dengan awal, supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya pesakit dikesan sebagai positif mengidap penyakit kanser. Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju menyediakan peruntukan awal sebanyak 500 ribu ringgit bagi tujuan pemeriksaan percuma ini.

Sebagai program yang julung kali diadakan, program pemeriksaan percuma ini akan dilaksanakan secara NBOS dengan melibatkan beberapa agensi Kerajaan Negeri serta kerjasama daripada Lembaga Pembangunan Penduduk, Keluarga dan Negara (LPPKN).

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Touchpoint ke-10 – Tabung Darul Iman ialah tabung kebajikan yang diwujudkan untuk membantu golongan yang susah dan terlibat dengan bencana. Tabung ini sememangnya memberi impak yang cukup kuat kepada rakyat terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan dan yang amat memerlukan bantuan.

Secara purata, hampir 5,000 orang pemohon menerima bantuan Tabung Darul Iman setiap tahun. Namun, angka ini kian bertambah. Pendirian Kerajaan Negeri dalam hal ini adalah jelas, iaitu Kerajaan Negeri akan terus membantu dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan, walaupun Kerajaan Negeri sendiri berhadapan dengan cabaran dan kekangan kewangan.

Justeru, bagi membantu rakyat yang susah dan menolong mereka yang layak menerima bantuan, sebagaimana yang terkandung dalam syarat-syarat yang diperuntukkan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan 5 juta ringgit kepada Sekretariat Tabung Darul Iman dalam Bajet 2018.

Ahli-Ahli Yang Berhormat di pihak Kerajaan dan ramai Pegawai serta kakitangan Kerajaan telah membuat potongan gaji untuk Tabung ini. Sekiranya ada dalam kalangan pihak swasta termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), serta Ahli-Ahli Yang Berhormat di sebelah sana yang ingin menyumbang atau membuat potongan gaji, ianya amatlah dialu-alukan.

Touchpoint ke-11 – Kerajaan menghargai sumbangan dan peranan para imam dan bilal. Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan bayaran khas one-off (dengan izin) sebanyak 1,500 ringgit kepada 1,326 orang yang terdiri daripada 1,260 Imam dan Bilal Masjid Mukim serta 66 Imam dan Bilal Mubaligh.

1,000 ringgit akan dibayar pada bulan Januari 2018 manakala 500 ringgit lagi akan dibayar menjelang Hari Raya Aidilfitri. Jumlah keseluruhan melibatkan peruntukan sebanyak 1.99 juta ringgit.

Selain itu, sebanyak 1,500 ringgit juga akan diberikan kepada Guru Pintar Quran. Cadangan ini bakal memberi manfaat kepada 1,701 orang Guru Pintar Quran dengan peruntukan sebanyak 2.55 juta ringgit.

Touchpoint ke-12 – Bagi menjaga kebajikan semua penerima e-kasih dan juga Imam dan Bilal masjid Kerajaan dan masjid Mukim, Kerajaan dengan ini bersetuju menyediakan Takaful Khairat Kematian. Sebanyak 188 ribu ringgit diperuntukkan bagi tujuan ini yang bakal memberi manfaat kepada 2,261 imam bilal dan 3,666 orang penerima e-kasih.

Touchpoint ke-13 – Bagi membantu jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah, Kerajaan Negeri pada hari ini mengumumkan bantuan one-off sebanyak 500 ringgit kepada 234 orang jurumandi dan 163 orang pembantu jurumandi jenazah.

Ini akan melibatkan peruntukan sebanyak 198,500 ringgit untuk 397 penerima. Kerajaan Negeri percaya insentif ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang telah melaksanakan tuntutan fardu kifayah.

Touchpoint ke-14 – Industri perkhidmatan air merupakan industri yang berintensif teknologi dan memerlukan modal yang tinggi. Peruntukan yang besar diperlukan bagi menggantikan paip-paip air sedia ada. Banyak yang telah melebihi jangka hayatnya.

Infrastruktur bekalan air yang baharu juga perlu diwujudkan berikutan pertambahan pembukaan kawasan penempatan yang baharu di seluruh Negeri Terengganu.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap komited untuk menjaga kebajikan rakyat khasnya yang melibatkan bekalan air bersih kepada rakyat. Tarif air di Negeri Terengganu masih lagi sangat rendah, malah adalah yang kedua terendah di Malaysia.

Sehubungan itu, atas dasar prihatin Kerajaan Negeri kepada rakyat, Kerajaan Negeri mengumumkan dua perkara berikut:

Pertama, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan 47.88 juta ringgit untuk pembangunan bekalan air dan program pengurangan Non Revenue Water (NRW) (dengan izin).

Dan Kedua, Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan bekalan air percuma untuk penggunaan domestik sehingga 20 meter padu sebulan. Bagi tujuan itu, sebanyak 6.3 juta ringgit akan diperuntukkan dengan anggaran manfaat bakal diterima oleh 100 ribu buah kediaman.

Kita berharap rakyat akan tetap menggunakan air dengan bijaksana kerana air adalah merupakan sumber yang terhad.

Touchpoint ke-15 – Untuk golongan mahasiswa, Kerajaan Negeri turut menerima cadangan dan permohonan daripada para mahasiswa anak Terengganu supaya diwujudkan Kad Pelajar yang menyediakan beberapa keistimewaan tertentu.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperkenalkan Kad Generasi Terengganu (Kad Gen-T) untuk para mahasiswa anak Terengganu. Kad ini membolehkan mahasiswa anak Terengganu mendapatkan potongan harga atau diskaun yang tertentu apabila membuat pembelian atau menggunakan perkhidmatan di premis perniagaan, pengangkutan seperti bas ekspres, kedai buku dan lain-lain perniagaan yang terpilih.

Buat permulaan, perniagaan seperti hotel, hospital dan restoran makanan segera milik Kerajaan Negeri akan dilibatkan dalam program ini sebagai rakan Gen-T. Sebanyak 400 ribu ringgit telah diperuntukkan dan dijangka 40 ribu pelajar institusi pengajian tinggi akan menerima manfaat.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin menggalakkan pihak swasta untuk menyertai program ini kerana bilangan pelajar yang sebegitu ramai ini menyediakan peluang pasaran yang sangat besar untuk perniagaan anda.

Touchpoint ke-16 – Kemudahan kesihatan di Negeri Terengganu adalah sangat baik. Malah, kita sangat berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana melalui Bajet 2018 baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan sejumlah peruntukan untuk mewujudkan Pusat Cardiology dan Cardio-thoracic di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Sungguhpun demikian, permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan sentiasa meningkat. Bagi memastikan capaian kepada perkhidmatan kesihatan lebih meluas, dan bagi memudahkan rakyat di kawasan luar bandar mendapatkan perkhidmatan tersebut, maka Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan Klinik Bergerak atau Mobile Clinic (dengan izin).

Sebagai projek perintis, sebanyak 500 ribu ringgit akan diperuntukkan untuk pembelian ubat-ubatan. Urusan klinik bergerak ini akan diselia oleh Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS).

Touchpoint ke-17 – Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan nasib nelayan. Sebagai satu usaha untuk meningkatkan hasil tangkapan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menambah bilangan tukun-tukun tiruan.

Sehingga kini, Kerajaan telah membina pelbagai jenis tukun berjumlah 1,352 unit dengan peruntukan 10.8 juta ringgit. Untuk Bajet 2018 kali ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan 250 ribu ringgit bagi pembinaan tukun tiruan dalam usaha meningkatkan sumber ikan di perairan Negeri. Usaha ini diharap dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah nelayan di Negeri ini.

Touchpoint ke-18 – Bagi melaksanakan Program Peningkatan Ekonomi, Bimbingan Perundangan, Program Pemantapan Keluarga Tunggal dan Sokongan Sosial, dan Program Kesedaran Penjagaan Kesihatan kepada 15 ribu ibu dan bapa tunggal, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan 1 juta ringgit.

Seterusnya Touchpoint ke-19 – Pemandu teksi adalah mereka yang berada di barisan hadapan atau frontliner (dengan izin) industri pelancongan. Mereka kini menghadapi saingan alaf baharu seperti UBER dan GRAB. Musim tengkujuh juga memberi cabaran kerana ketibaan pelancong yang menggunakan perkhidmatan teksi sedikit terjejas.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak 500 ringgit kepada semua Pemandu Teksi yang aktif dan berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

Daripada jumlah 500 ringgit itu, sebahagiannya akan dijadikan caruman untuk “Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri” atau Skim Takaful yang dikendalikan di bawah PERKESO. Kerajaan Negeri ingin menjaga kebajikan bukan sahaja para Pemandu Teksi bahkan juga tanggungan mereka masing-masing melalui Skim Takaful yang tersebut.

Faedah yang bakal diperolehi oleh Pemandu Teksi termasuklah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara atau Kekal, dan Khairat Kematian. Seramai 817 orang Pemandu teksi dijangka akan mendapat manfaat dari bantuan one-off dan skim takaful ini.

Touchpoint ke-20 – Bagi meringankan beban dan membantu penarik beca serta pengusaha bot penambang, maka Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju untuk meneruskan bantuan bulanan sebanyak 200 ringgit bagi tahun 2018. Sumbangan ini akan memberi manfaat kepada 49 orang penarik beca dan 18 orang pengusaha bot penambang.

Kerajaan Negeri juga mencadangkan supaya bantuan one-off sebanyak 500 ringgit juga diberi kepada pemandu bas henti-henti. Sumbangan ini bakal memberi manfaat kepada 50 orang pemandu bas henti-henti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here