PE-TUNJANG KETIGA : Mengisi Keperluan PERUMAHAN Rakyat – MB Razif

0
394

 

Touchpoint ke-28 – Perumahan adalah keperluan besar dalam kalangan rakyat, terutama yang tergolong dalam kelompok B40 dan M40.

Bagi memenuhi keperluan perumahan golongan nelayan, Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) akan dilaksanakan di Daerah Kemaman, Besut dan Setiu. Projek ini adalah usahasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Untuk tujuan itu, 13 juta ringgit akan diperuntukkan bagi tahun 2018 dan seramai 200 keluarga nelayan berdaftar dijangka bakal menerima manfaat daripada projek ini.

Touchpoint ke-29 – Sejak tahun 2010, lebih daripada 30 ribu keluarga telah menikmati kemudahan perumahan yang mana sebanyak 12,566 buah unit rumah telah dibina di bawah Program Perumahan Mampu Milik. Sejumlah 8,357 buah rumah dibina di bawah inisiatif Kerajaan Negeri manakala bakinya oleh pihak swasta. Melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kerajaan Negeri telah membina dan membaik pulih lebih daripada 18,000 unit rumah.

Program PPRT ini akan dijenamakan semula sebagai Program Perumahan Terengganuku Sayang (PPTS). Kerajaan Negeri akan meneruskan PPTS ini termasuk memberi tumpuan kepada golongan OKU dengan memperuntukkan sebanyak 32 juta ringgit lagi bagi tahun 2018.

Touchpoint ke-30 – 800 unit rumah bakal dibina untuk golongan B40 di bawah Program My Terengganu Beautiful New Home (MyTBNHome) dengan anggaran kos sebanyak 40 ribu ringgit seunit.

Daripada jumlah ini, 20 ribu ringgit akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri manakala 20 ribu ringgit lagi melalui pinjaman. Projek ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak 32 juta ringgit dengan menggunakan kaedah pembinaan Sistem HyperBIM.
Touchpoint ke-31 – Melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, beberapa lagi projek perumahan untuk rakyat akan dilaksanakan. Antaranya adalah:

Pertama – Program My Beautiful New Home (MyBNHome). Pelaksanaan program ini adalah khusus untuk golongan B40. Sebagai permulaan, sebanyak 50 unit rumah akan dilaksanakan dengan segera di Kampung Mak Kemas, Bukit Payung, Marang di atas tanah Kerajaan Negeri seluas 6 ekar dengan melibatkan peruntukan sebanyak 2 juta ringgit. Dan Kedua – Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M). Tambahan sebanyak 2,538 unit rumah lagi akan dibina melalui projek Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) di seluruh Negeri.

Touchpoint ke-32 – Sebanyak 3,085 unit Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibina di seluruh Negeri sekaligus memberi manfaat kepada golongan B40 berpendapatan isi rumah sebanyak 3,500 ringgit ke bawah.

Pembinaan rumah-rumah ini akan bermula pada tahun 2018 dan dijangka siap pada tahun 2020. Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak 400 juta ringgit.

Touchpoint ke-33 – Kerajaan Negeri akan menubuhkan sebuah Tabung Perumahan bagi memberi kemudahan kepada rakyat membuat pinjaman tanpa faedah sehingga maksima 40 ribu ringgit. Sebanyak 30 juta ringgit telah diperuntukkan bagi tabung ini.

Seterusnya Touchpoint ke-34 – Bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan, masih belum mempunyai tanah sendiri serta memenuhi kelayakan yang telah ditetapkan, satu skim yang dipanggil Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (Tapak Rumah) telah diperkenalkan. Setakat ini, Kerajaan Negeri telah menawarkan 5,939 lot tanah untuk diagihkan kepada mereka yang layak, dengan bilangan pemohon seramai 41,376 orang. Proses temuduga sedang dijalankan bagi mengenalpasti penerima yang layak.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Kerajaan sangat cakna dengan keperluan perumahan untuk rakyat. Di sebalik pelbagai rancangan untuk mengisi keperluan tersebut, saya ingin memohon kerjasama semua pihak agar tidak menyalahgunakan kemudahan yang diterima.

Rumah-rumah di bawah skim perumahan Kerajaan adalah untuk dijadikan sebagai kediaman penerima dan bukanlah aset untuk disewa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here