PE-TUNJANG KEEMPAT : Mendukung PEMBANGUNAN yang bersifat inklusif dan berpaksikan rakyat (rakyat – centric) – MB Razif

0
609

 

Touchpoint ke-35 – Pembelajaran Atas Talian adalah satu program tambah nilai dalam pembelajaran bagi melengkapkan pelajar dengan asas ICT dan memberi kemudahan kepada pelajar mengulangkaji pelajaran tanpa had waktu dan tempat.

Satu program perintis yang dinamakan Program V-Class (Virtual Class) (dengan izin) akan dilaksanakan dengan jangkaan manfaat seramai 50 ribu pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh Negeri Terengganu. Sebanyak 300 ribu ringgit akan diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini.

Touchpoint ke-36 – Kerajaan Negeri sangat berterima kasih kepada PIBG sekolah-sekolah kerana berperanan membantu kecemerlangan pendidikan anak-anak kita di Negeri Terengganu.

Bagi meneruskan kecemerlangan pendidikan Terengganu, Program Memperkasa PIBG (PMP) akan dilaksanakan melalui peruntukan one-off kepada setiap PIBG iaitu sebanyak 2 ribu ringgit.

1.01 juta ringgit akan disediakan bagi tujuan ini yang akan melibatkan 505 buah PIBG seluruh Negeri Terengganu. Sumbangan ini diharap dapat memberi manfaat kepada setiap PIBG dalam merangka dan merancang aktiviti masing-masing.

Seterusnya Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan Program Penarafan Bintang PIBG (Star Rating) (dengan izin). Peruntukan sebanyak 50 ribu ringgit akan disediakan bagi penyediaan indikator khas bagi program ini yang akan dimulakan di beberapa PIBG sebagai program perintis.

Touchpoint ke-37 – Bagi memastikan persatuan belia di Negeri Terengganu sentiasa bergerak aktif, Kerajaan Negeri bercadang melaksanakan Program Memperkasa Persatuan Belia (PMPB). Sebanyak 5 ribu ringgit akan disumbang kepada hampir 450 persatuan belia yang aktif dan berdaftar. Sejumlah 2.25 juta ringgit diperuntukkan bagi tujuan ini.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga mencadangkan supaya dibuat Penarafan Bintang (Star Rating) (dengan izin) terhadap persatuan belia. Peruntukan sebanyak 50 ribu ringgit disediakan bagi penyediaan indikator khas Star Rating ini. Sebagai permulaan, beberapa persatuan akan dipilih untuk program perintis.

Touchpoint ke-38 – Warga Emas juga merupakan aset penting kepada Negeri kerana mereka memiliki ilmu, pengalaman dan kepakaran yang tidak mudah dicari ganti. Kerajaan Negeri bercadang untuk menyiapkan pembinaan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas Negeri Terengganu di Daerah Kuala Nerus dengan kos sekitar 6 juta ringgit sekaligus memberi manfaat kepada 4 ribu orang warga emas.

Touchpoint ke-39 – Kita berasa sangat hiba dan sedih dengan tragedi kebakaran yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur baru-baru ini. Saya mewakili Kerajaan Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

Bagi menyediakan bantuan seperti peralatan keselamatan kebakaran, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak 126 ribu ringgit untuk disumbangkan kepada pusat-pusat tahfiz yang berdaftar di Negeri Terengganu.

Touchpoint ke-40 – Negeri Terengganu Darul Iman dikenali sebagai Negeri yang menghasilkan ramai Qari dan Qariah yang mempunyai bacaan Al-Quran yang sangat bermutu tinggi.

Nama-nama seperti Dato’ Hajjah Rogayah dan Haji Daud Che Man suatu ketika dahulu, dan kini Ahmad Tarmizi Ali, berjaya menempa kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Bagi melahirkan lebih ramai Qari dan Qariah terbaik, Kerajaan Negeri mencadangkan Program Pembelajaran Ilmu Tajwid dan Taranum. Peruntukan awal sebanyak 140 ribu ringgit disediakan untuk tujuan tersebut.

Touchpoint ke-41 – Kerajaan Negeri terus komited untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran. Alhamdulillah, pada tahun ini seramai 8,703 murid pra sekolah dan seramai 15 ribu murid KAFA telah berjaya khatam Al-Quran.

Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri akan meneruskan program Pintar Quran ini dengan memperuntukkan sebanyak 1 juta ringgit dalam Bajet kali ini.

Touchpoint ke-42 – Negeri Terengganu mempunyai sejarah yang sarat dengan tradisi keilmuan. Bagi memelihara dan memperluaskan tradisi ini kepada generasi pewaris, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan sebuah yayasan yang dikenali sebagai Yayasan Tok Ku Paloh. Sebagai permulaan, sebanyak 1 juta ringgit akan diperuntukkan melalui sumbangan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC).

Touchpoint ke-43 – J3K adalah nadi Kerajaan di peringkat akar umbi. Peranannya sangat besar dalam memastikan hasrat dan amanat Kerajaan benar-benar sampai ke peringkat yang paling asas dalam masyarakat.

Bagi menjayakan agenda memperkasa J3K, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan bantuan pengurusan one-off (dengan izin) sebanyak 5 ribu ringgit kepada setiap J3K di Negeri Terengganu. Bantuan ini akan melibatkan jumlah peruntukan sebanyak 5.27 juta ringgit.

Seterusnya Touchpoint ke-44 – Kerajaan Negeri ada menerima cadangan daripada penggiat pelancong dan pengusaha bot supaya dianjurkan kursus untuk pemandu bot. Ini bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan pelancong di kawasan-kawasan pelancongan seperti di Tasik Kenyir dan pulau peranginan Terengganu.

Cadangan ini mungkin dilihat kecil tetapi ianya baik untuk mengukuhkan kepercayaan pelancong terhadap tahap keselamatan perkhidmatan bot yang ditawarkan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan 100 ribu ringgit bagi melaksanakan Program Bimbingan dan Kursus Kelayakan Untuk Pemandu Bot.

Touchpoint ke-45 – Terdapat minat yang tinggi dalam kalangan rakyat untuk menyertai program-program kesihatan seperti Fun Run, Fun Ride (dengan izin) dan Senamrobik di setiap daerah. Ini adalah trend yang baik untuk diamalkan.

Bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan rakyat dalam aktiviti sihat sebegini, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit. Diharap lebih banyak program seumpama ini dapat diadakan di seluruh daerah di Negeri Terengganu.

Touchpoint ke-46 – Kerajaan Negeri berasa bangga dengan pencapaian atlet dan penggiat sukan Negeri Terengganu. Banyak pencapaian yang telah diraih di peringkat kebangsaan, Asia malah di peringkat dunia.

Tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, dan Sumber Manusia Negeri kerana berjaya menobatkan Negeri Terengganu sebagai gergasi sukan Negara.

Tahun 2018 adalah tahun Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Negeri Perak Darul Ridzuan. Bagi memastikan kejayaan kita dalam SUKMA edisi seterusnya nanti, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan 8.7 juta ringgit melalui Bajet kali ini untuk melaksanakan pelbagai persiapan termasuk latihan intensif dan mengadakan sparring (dengan izin) bersama pasukan kebangsaan.

Touchpoint ke-47 – Bagi meraikan dan menghargai kejayaan atlet sukan sehingga mengharumkan nama Negeri Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan 1 juta ringgit untuk Anugerah Kecemerlangan Sukan.

Touchpoint ke-48 – Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membina Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu berdekatan Mini Stadium, Kompleks Sukan Gong Badak dengan kos keseluruhan sebanyak 100 juta ringgit.

Bangunan yang mempunyai 2 blok menara 6 tingkat ini mempunyai 60 unit asrama yang dapat menampung seramai 650 atlet pada satu-satu masa.

Dengan adanya asrama ini, pihak Kerajaan melalui Majlis Sukan Negeri dapat melaksanakan perancangan pembangunan sukan dengan lebih baik dengan kos pembangunan sukan yang berkurangan.

Touchpoint ke-49 – Kerajaan Negeri juga bersetuju mencadangkan peruntukan untuk membaiki dan menaiktaraf semua gelanggang futsal di bawah Kerajaan Negeri yang melibatkan semua gelanggang futsal di 32 DUN. Sebanyak 2 juta ringgit akan diperuntukkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Selain bidang sukan, bidang pendidikan juga adalah satu lagi cerita kejayaan buat Negeri kita. Sekali lagi kita ucapkan tahniah dan syabas kepada semua warga pendidik, para guru, kakitangan Jabatan Pendidikan di seluruh Negeri, dan pihak PIBG kerana tahun 2017 adalah tahun yang penuh dengan kecemerlangan akademik dan bukan akademik.

Touchpoint ke-50 – Bagi meneruskan kecemerlangan anak-anak kita dalam bidang pendidikan ini, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak 5 juta ringgit, yang mana 2 juta adalah daripada Kerajaan Negeri dan 3 juta ringgit lagi disumbangkan oleh Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC).

Peruntukan ini akan digunakan untuk pelaksanaan aktiviti kecemerlangan di peringkat Negeri, daerah dan sekolah melibatkan kelas bimbingan, tutorial dan akademik serta motivasi yang dianjurkan menjelang peperiksaan bagi menaikkan semangat dan jati diri pelajar menghadapi peperiksaan awam.

Peruntukan ini juga akan diguna pakai untuk pelaksanaan program celik jawi. Pada masa yang sama, langkah mengetatkan penguatkuasaan untuk mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada semua papan tanda dan papan iklan akan diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memartabatkan lagi tulisan jawi.

Touchpoint ke-51 – Kerajaan Negeri juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon UPSR, para ibu bapa, para pegawai dan kakitangan JPNT dan teristimewa, para guru. Ini adalah kerana Terengganu sekali lagi telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam Peperiksaan UPSR tahun ini. 560 orang pelajar telah mendapat 6A berbanding 271 tahun lepas, peningkatan yang sangat hebat. Tahniah dan Syabas!

Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju untuk meneruskan pemberian hadiah galakan sebanyak 500 ringgit seorang melalui Skim SSPN-i kepada semua pelajar yang berjaya dalam peperiksaan-peperiksaan awam Malaysia iaitu UPSR, PT3, SPM, STPM dan STAM. Semoga Negeri Terengganu terus unggul dalam bidang pendidikan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Touchpoint ke-52 – Pelaksanaan Visit Beautiful Terengganu 2017 telah berjalan dengan sangat baik. Usaha untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai alternatif baharu kepada sektor minyak dan gas mungkin memakan masa, tetapi usaha ke arah itu sedang dilaksanakan dan mula menampakkan hasil.

Bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan sebagai sektor alternatif dalam menjana ekonomi Negeri, sejumlah 80 juta ringgit akan disediakan bagi pembangunan sektor ini.

Kerajaan Negeri juga telah melantik PEMANDU Associates untuk melaksanakan Pelan Induk Pelancongan Terengganu. Melalui pelan ini, adalah diharapkan sektor pelancongan mampu memberi kesan berganda sebanyak tiga (3) kali terhadap pembangunan ekonomi dan 2.5 kali ganda dalam mewujudkan peluang pekerjaan.

Kerajaan Negeri juga akan meneruskan usaha membangunkan Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai dan destinasi Eko-Pelancongan. Daripada keseluruhan peruntukan pembangunan pelancongan Negeri bagi tahun 2018, sebanyak 54.5 juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan projek-projek sedia ada dan baharu di Tasik Kenyir. Untuk memenuhi keperluan pelancong ke Tasik Kenyir, Kerajaan Negeri telah membangunkan Hotel Kerajaan di Pulau Poh, Tasik Kenyir dan dijangka siap pada Ogos, 2018.

Isu kebersihan yang berkait rapat dengan sektor pelancongan, turut diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri. Ekoran kejayaan menjaga tahap kebersihan di kawasan bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Majlis Perbandaran Kemaman telah terpilih untuk menyertai ASEAN Clean Tourist City yang julung kali diadakan pada tahun ini.

Bagi menjalankan kerja-kerja kebersihan di seluruh Negeri Terengganu, sebanyak 50 juta ringgit disediakan dalam Bajet kali ini.

Touchpoint ke-53 – Saban tahun, bilangan pesakit yang mengalami masalah buah pinggang kian meningkat. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan tiga (3) buah Pusat Hemodialisis di Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus. Peruntukan sebanyak 6 juta ringgit disediakan bagi memastikan ketiga-tiga Pusat Hemodialisis ini dapat digunapakai untuk manfaat hampir seribu pesakit setiap tahun.

Touchpoint ke-54 – Kerajaan Negeri akan melancarkan perkhidmatan MyBAS KT yang dikendalikan oleh SPAD. Mara Liner akan menjadi operator perkhidmatan ini. Fokus akan diberikan kepada penyediaan perkhidmatan bas di kawasan-kawasan yang laluannya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi serta kawasan tumpuan pelancongan. Kerajaan Negeri berharap sistem pengangkutan awam ini dapat membantu dan memudahkan rakyat menjalani urusan mereka.

Touchpoint ke-55 – Kerajaan Negeri ingin mengucapkan tahniah kepada Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana berjaya mengurangkan kadar jenayah di Negeri Terengganu.

Bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di Bandaraya Kuala Terengganu sebagai sebuah ibu negeri, Kerajaan bercadang untuk mewujudkan konsep Bandar Selamat. Untuk tujuan itu, peruntukan sebanyak 2 juta ringgit akan disediakan untuk menambah bilangan dan menyelenggara CCTV yang sedia ada.

Masalah gejala sosial harus kita tangani secara bersama dan diuruskan di peringkat awal remaja. Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit untuk menjayakan beberapa program meningkatkan sahsiah remaja seperti Program Saya Anak Terengganu Taklif, Program Ingat Sebelum Terkena dan Program Peningkatan Potensi Diri. Seramai 10 ribu remaja dijangka akan menerima manfaat daripada program-program ini.

Touchpoint ke-56 – Kerajaan Negeri juga turut istiqamah untuk memperluaskan liputan capaian Terengganu Wi-Fi. Selaras dengan kejayaan penyediaan 537 hotspot (dengan izin) di Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Besut dan Setiu pada tahun 2017, maka pada tahun 2018, Kerajaan Negeri akan melengkapkan kemudahan ini di Daerah Dungun dan Kemaman dengan peruntukan sebanyak 5 juta ringgit.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Touchpoint ke-57 – Sektor Pertanian akan terus diberi tumpuan dalam usaha Kerajaan menjamin bekalan makanan, meningkatkan pendapatan golongan yang terlibat serta mewujudkan peluang pekerjaan. Komponen tradisi sektor ini iaitu pertanian, penternakan dan perikanan terus diberi nafas baharu bagi meningkatkan pengeluaran dengan pendekatan menggunakan teknologi pembangunan pemprosesan, penyelidikan dan integrasi.

Perancangan dalam sektor pertanian juga memberi tumpuan kepada projek yang memberi impak terus kepada golongan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah 23.77 juta ringgit.

Projek Khas Pertanian bagi tahun 2018 diteruskan dengan Projek Terengganu Golden Corn (TGC) yang telah diperkenalkan hasil usaha Jabatan Pertanian Negeri Terengganu. Pihak Jabatan telah mengenalpasti sejenis varieti jagung yang unik dan ianya bakal menjadi salah satu Produk Ikon Negeri yang baharu. Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit.

Kerajaan Negeri memperuntukkan 2 juta ringgit bagi melaksanakan program-program Transformasi Pertanian Terengganu (TPT) dengan pengenalan Program Peningkatan Kualiti Madu, Program Bantuan Input Pertanian, Program Pertanian Bandar, Perikanan dan Ternakan serta Program Latihan Belia Tani.

Touchpoint ke-58 – Sehingga Oktober 2017, Program Madu Ole-Ole Terengganu yang disertai seramai 196 pengusaha madu telah mencatatkan peningkatan mendadak nilai pengeluaran sebanyak 3.5 juta ringgit berbanding 1.5 juta ringgit pada tahun 2016.

Bagi membantu para penternak madu meningkatkan jualan, maka Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan 500 ribu ringgit untuk memastikan ketulenan madu terjamin dengan pembelian peralatan berteknologi tinggi di samping aktiviti pemasaran dan penjenamaan. Program ini akan memberi manfaat kepada 200 orang pengusaha madu.

Buah duku, dokong dan rambutan adalah di antara buah-buahan tempatan yang sering mengalami kadar harga yang tidak menentu. Kaedah penstabilan harga akan dilaksanakan menerusi pembelian terus daripada petani serta memperbanyakkan kempen promosi buah-buahan tempatan dan engagement (dengan izin) dengan pihak perhotelan.

Kerajaan Negeri juga telah menerima permintaan daripada penternak-penternak ikan air tawar, khasnya mereka yang mengusahakan ikan tilapia merah atau “Red Kenyir”. Bagi menyokong aktiviti penternakan ikan ini, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju memperuntukkan 50 ribu ringgit untuk pembelian boya bagi mengelakkan houseboat (dengan izin) memasuki kawasan ternakan ikan khasnya di Sungai Como dan Pantai Ali. Kecil bagi kita, tetapi saya percaya, besar bagi para penternak ikan ini.

Untuk membantu para nelayan pantai meningkatkan hasil tangkapan, peruntukan sebanyak 800 ribu ringgit disediakan bagi pembelian peralatan yang dapat memudahkan mereka mencari rezeki.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedar akan perlunya penyelesaian jangka panjang untuk menangani masalah muara sungai dan pelabuhan perikanan yang cetek. Untuk itu, peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit disediakan sebagai usaha awal untuk mendapatkan dan melaksanakan kaedah terbaik jalan penyelesaian masalah tersebut.

Touchpoint ke-59 – Bagi memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu sistem yang dapat memudahkan dan memendekkan masa bagi memproses permohonan projek pembangunan. Di bawah seliaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Bahagian Pembangunan Maklumat Negeri (BPMN), sistem atas talian yang dikenali sebagai MySPP akan disebarluaskan. Sukacitanya saya ingin mengumumkan bahawa sistem MySPP ini boleh digunakan sepenuhnya mulai Februari 2018.

Dan akhir sekali, Touchpoint ke-60 – Bagi menghargai perkhidmatan yang telah disumbangkan oleh penjawat awam, Kerajaan Negeri bersetuju memberi bonus sebanyak 1,500 ringgit kepada penjawat awam Negeri. Daripada jumlah ini, 1,000 ringgit akan diberikan pada bulan Januari 2018, manakala baki 500 ringgit lagi akan diberikan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Atas dasar cakna pihak Kerajaan kepada penjawat awam, Kerajaan Negeri bersetuju memperluaskan bayaran bonus ini kepada semua kakitangan termasuk kakitangan sementara tanpa perjawatan, kontrak dan ad hoc (dengan izin). Bilangan yang bakal mendapat manfaat ini ialah seramai 12,756 orang dengan peruntukan sebanyak 19.13 juta ringgit.

Sebagai apresiasi kepada penjawat awam yang telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan di Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menambah bilangan penerima bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dengan melibatkan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

MASA HADAPAN YANG LESTARI

Baju baru kain bertekat,
Baju belah pakai kerongsang,
Bersatu padu kuat seikat,
Kalau berpecah, dimakan orang.

Bertemakan “Masa Hadapan Yang Lestari”, Bajet kali ini dipandu oleh 4 PE-TUNJANG. Kerajaan Negeri telah menyenaraikan 60 touchpoints atau perkara-perkara titik sentuhan yang dianggap utama oleh rakyat dan perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera oleh Kerajaan.

Bagi memastikan pelaksanaan Bajet 2018 benar benar sampai dan menyentuh rakyat yang paling memerlukan bantuan, saya ingin mengumumkan penubuhan satu task force (dengan izin) yang akan menyelaras dan memantau pelaksanaan semua 60 touchpoints tersebut.

Task force ini akan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan melibatkan para pegawai dan juga pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Tegasnya, touchpoints ini harus benar-benar mendatangkan impak kepada kelompok rakyat yang disasarkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Saya telah memberikan intipati kepada Bajet Negeri 2018. Saya telah menghuraikan proses penyediaan Bajet yang mengambilkira pendapat dan maklumbalas orang ramai.

Ya, benar. Bajet pada kali ini memberi fokus kepada perkara yang mungkin dianggap kecil bagi sebilangan daripada kita. Soal nasi dagang disentuh. Begitu juga soal perkahwinan perdana, manfaat untuk penarik beca, pemandu bas, pemandu teksi, PIBG, ibu tunggal, golongan OKU, imam bilal, golongan nelayan, pemandu bot penambang, jurumandi jenazah, Qari dan Qariah, pengusaha madu, pesakit buah pinggang, warga emas, golongan mahasiswa, golongan miskin dalam senarai e-kasih dan usahawan kecil.

Tegasnya, Bajet ini adalah Bajet untuk mereka.
Kita tidak bercakap soal yang terlalu tinggi melangit sedangkan ia mungkin tidak berpijak di bumi yang nyata. Sebaliknya, kita bercakap mengenai perkara asas, memberi lebih fokus kepada apa yang penting buat rakyat.

Isu menangani peningkatan kos sara hidup, isu peluang pekerjaan dan isu perumahan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri. Mungkin kecil bagi kita, tetapi saya percaya, besar maknanya kepada rakyat.

Apapun kita tidak lupa tentang isu besar yang melibatkan Kerajaan Negeri. Antaranya, isu Dana Khas Kerajaan Persekutuan, isu Bertam, tidak sesekali dilupakan. Namun, isu-isu yang lebih menyentuh hati rakyat diberi keutamaan dalam Bajet kali ini.

Bajet 2018 juga ialah pembentangan Bajet yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada Pilihanraya Umum yang ke-14. Kepada semua rakyat jelata, sekali lagi saya ingin nyatakan bahawa saya dan rakan-rakan dalam Barisan Kerajaan, sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk kebaikan rakyat.
Terserah kepada rakyat untuk menilai dan membuat pertimbangan terbaik.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan Kerajaan, khasnya Pasukan Bajet 2018 dari Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri. Terima kasih di atas usaha kalian yang bertungkus lumus menyediakan Bajet 2018 ini.

Bajet ini adalah Bajet kita bersama. Kerana kita yang merangkanya secara bersama.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah, Ya Allah pemilik kekuasaan (kerajaan) alam semesta. Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau mengambil semula kekuasaan itu dari sesiapa sahaja yang Engkau mahu. Engkau berkuasa memuliakan dan menghina siapa yang Engkau mahu. Di tangan-Mu (Ya Allah), segala kebaikan dan kekayaan” (Surah Aali Imraan, ayat 26)

Di awal pembentangan Bajet ini tadi, saya ada menyebutkan bahawa Negeri Terengganu Darul Iman ibarat peribahasa Melayu, air jernih, ikannya jinak. Negeri yang aman dan teratur. Rakyatnya juga berbudi bahasa.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga air yang jernih, tidak dikeruhkan dan ikan yang jinak, tidak pula diliarkan. Kerana Negeri Terengganu ini sebenarnya, Molek Doh.

Terengganu…Molek Doh!
Terengganu…Molek Doh!
Terengganu…Molek Doh!

Kepada Allah jua saya berserah.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here