PE-TUNJANG KEDUA : Meningkatkan Penawaran dan Pengwujudan Peluang PEKERJAAN – MB Razif

0
428

 

Touchpoint ke-21 – Bagi meningkatkan peluang pekerjaan, Kerajaan Negeri Terengganu telah mewujudkan satu sistem online yang dinamakan JobsTTB.

Program yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri melalui portal ini ialah Terengganu Graduate Transformation Programme (TGTP), bertujuan memberi latihan kepada graduan anak Terengganu yang belum mendapat pekerjaan dan pada masa yang sama boleh menambah pengalaman setelah mengikuti program ini.

Graduan yang mengikuti TGTP akan ditempatkan di syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keyakinan diri dan mendapat pendedahan kepada suasana kerja yang sebenar. Sehingga kini, program perintis telah berjaya membantu seramai 275 graduan.

Untuk tahun 2018, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperkasa program ini melalui peruntukan sebanyak 10 juta ringgit yang akan dibiayai bersama di antara Kerajaan Negeri dengan sumbangan daripada Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) serta Badan Korporat. Program ini dijangka memberi manfaat kepada 1,600 graduan anak Terengganu pada tahun hadapan.

Touchpoint ke-22 – Program Transformasi Ekonomi Terengganu telahpun berjalan. Namun, ianya menghadapi cabaran dari segi pelaksanaannya berikutan kejatuhan harga minyak di pasaran dunia, pasaran kewangan yang semakin ketat, pendekatan yang lebih berhati-hati yang diambil oleh pelabur dan beberapa faktor lain yang telah turut menjejaskan ekonomi Negeri.

Beberapa Entry Point Project (EPP) (dengan izin) yang telah memulakan kerja awal pembinaan atau dilaksanakan pada tahun 2017 adalah termasuk:

Pertama : Projek Pengeluaran Sarung Tangan Nitrile Butadiene Rubber (NBR). Melibatkan pelaburan sebanyak 970 juta ringgit di Kerteh Bio Polymer Park yang kini dalam proses pembinaan kilang.

Kedua : Projek Tanaman Jagung Untuk Makanan Ternakan. Melibatkan pelaburan 27 juta ringgit dan tanaman secara berperingkat sehingga 500 hektar dalam tahun 2017 di seluruh daerah Negeri Terengganu. Jumlah keluasan tanaman terkini adalah sebanyak 214 ekar di Daerah Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Ketiga : Projek Pengeluaran Baja Bio Daripada Tandan Kelapa Sawit. Melibatkan pelaburan sebanyak 28 juta ringgit. Projek ini telah pun beroperasi di Daerah Setiu.

Dan Keempat : Projek Pengeluaran Gas Bio Methane bagi penjanaan tenaga elektrik melibatkan pelaburan sebanyak 14 juta ringgit di Daerah Kemaman dan kerja-kerja pembinaan kilang sedang berjalan.

Keempat-empat EPP ini akan menawarkan 4,310 peluang pekerjaan kepada anak-anak Terengganu.

Touchpoint ke-23 – Kerajaan Negeri Terengganu bergerak seiringan dengan Kerajaan Persekutuan yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi digital yang inovatif. Ekonomi digital dijangka memberi sumbangan melebihi 20% kepada KDNK Negara pada tahun 2020.

Justeru, melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Kerajaan Negeri Terengganu telah mengambil tindakan proaktif dengan rancangan untuk membangunkan Hub Digital Kuala Terengganu sebagai Program Memperkasa Bandar Keusahawanan Lautan Biru (Blue Ocean Entrepreneur Township) atau BOETs. Hub ini akan menjadi hub kreativiti dan inovasi kepada kelompok usahawan muda Terengganu, seterusnya menggalakkan mereka menjalin kerjasama dan rangkaian niaga.

Hub Digital Terengganu mensasarkan penyediaan prasarana dan ekosistem yang komprehensif dengan kemudahan Co Working Space (dengan izin), pelaksanaan program start up dan Entrepreneur Grooming (dengan izin). Projek ini dibangunkan dalam dua (2) fasa dengan keluasan lantai seluas lebih 200 ribu kaki persegi di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu. Bagi fasa pertama kos yang terlibat ialah sebanyak 12 juta ringgit.

Hub Digital Terengganu juga akan menjadi pemangkin kepada usaha mewujudkan perniagaan secara talian melalui Program E-Usahawan dan E-Dagang. Ianya dijangka memberi peluang kepada 525 usahawan.

Touchpoint ke-24 – Taman Teknologi Terengganu (TTT) yang berasaskan kepada Revolusi Perindustrian Keempat akan dibangunkan di atas tanah seluas 2,000 ekar di Kg. Telaga Papan, Daerah Setiu.

TTT akan menjadi Regional Growth Digital Centre di Pantai Timur yang memberi keutamaan kepada Industri Kandungan, Komunikasi, Infrastruktur & Teknologi Baharu.

TTT dirancang dengan teliti dalam persekitaran biodiversiti Tanah Bencah Setiu, kawasan berpantai, sungai dengan berlatar belakang pulau-pulau peranginan dan tasik. Kedudukannya yang berdekatan dengan rancangan pembinaan stesen ECRL di Telaga Papan, akan menambah nilai dan daya tarikan taman teknologi ini.

Pelaksanaan projek ini adalah strategi penting dalam merealisasikan keseimbangan pembangunan antara wilayah yang menjadi teras Rancangan Malaysia Kesebelas. Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit dan dijangka dapat mewujudkan 10 ribu peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Touchpoint ke-25 – Kerajaan Negeri sekali lagi merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutamanya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana bersetuju meluluskan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL). Projek ini melibatkan jajaran utama sepanjang 524.4 kilometer dan jajaran sisihan sepanjang 75.9 kilometer.

Jajaran ini akan bermula dari Gombak, Selangor sehingga ke Kota Bharu, Kelantan dan melalui Negeri Terengganu dengan kos sebanyak 55 bilion ringgit. Jajaran di Negeri Terengganu sahaja akan melibatkan jarak sepanjang 229.6 kilometer. Sepanjang jajaran tersebut, terdapat tujuh (7) stesen iaitu Stesen Cukai, Stesen Kemasik, Stesen Dungun, Stesen Pengkalan Berangan, Stesen Kuala Terengganu, Stesen Permaisuri dan Stesen Kota Putera.

Mengambil contoh projek MRT Kajang ke Sungai Buloh yang menjadi ikon cerita kejayaan, pembinaan stesen-stesen ini secara langsung dan tidak langsung akan meningkatkan lagi pembangunan di kawasan sekitar dan dalam masa sama mewujudkan ribuan peluang perniagaan dan pekerjaan.

Kita harus sama-sama bersyukur kerana hubungan di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan sangatlah baik. Satu lagi manifestasi hasil hubungan yang sangat baik ini ialah pengenalan Program MySuria.

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah memperkenalkan Program MySuria. Sebanyak 45 juta ringgit diperuntukkan untuk golongan sasaran B40. Program MySuria ini adalah projek pemasangan Panel Solar ke atas 1,600 buah rumah kelompok B40. Setiap peserta program akan menerima pendapatan anggaran sebanyak 250 ringgit sebulan. Seramai 200 orang peserta telah dikenalpasti untuk mengikuti program peringkat Fasa Pertama.

Touchpoint ke-26 – Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Transformasi Belia Niaga (TBN) padatahun 2018 bagi membantu belia membina masa hadapan melalui kerjaya keusahawanan. Sebanyak 1.2 juta ringgit diperuntukkan kepada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)untuk melaksanakan program ini dengan sasaran untuk melahirkan seramai 100 usahawan belia.

TBN dilaksanakan melalui kolaborasi secara NBOS bersama semua agensi yang terlibat dengan keusahawanan termasuk latihan, khidmat nasihat dan pinjaman. Peserta akan diberi geran perniagaan sebanyak 10 ribu ringgit setiap seorang selepas tamat latihan keusahawanan.

Touchpoint ke-27 – Program Pengurus Kediaman atau Home Manager yang dilaksanakan telah membantu menangani masalah kebergantungan kepada pekerja asing sebagai pembantu rumah. Malah program ini adalah satu lagi contoh cerita kejayaan Terengganu kerana ia membantu golongan miskin dan ibu tunggal khasnya, meningkatkan taraf hidup dan pendapatan masing-masing.

Sejak tahun 2015, seramai 113 Pengurus Kediaman masih lagi berkhidmat melalui program ini. Bagi memperkasa Program Home Manager ini, Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit yang akan memberi peluang pekerjaan kepada 150 orang Pengurus Kediaman.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here