Nur Amirul juara peringkat pertama Jelajah Malaysia

0
395

HUTAN MELINTANG, PERAK – Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakharuddin Mazuki melakar kemenangan bergaya di peringkat pertama saingan Jelajah Malaysia, semalam.

Amirul memenangi perlumbaan sejauh 161.9km dari Shah Alam ke Hutan Melintang dalam tempoh tiga jam, 52 minit dan 46 saat tetapi dia dikenakan penalti 20 saat selain denda CHF50 (RM217) kerana mengekori kereta pasukannya dalam jarak terlalu rapat.

Bagaimanapun, penalti yang dikenakan itu tidak menjejaskan statusnya selaku juara peringkat pertama tetapi dia kehilangan jersi kuning yang dimenangi pelumba KFC Cycling Team, Abdul Gani di Indonesia yang sebelum itu menamatkan saingan di kedudukan kedua.

Pelumba Oliver Real Food Racing dari Australia, Ryan Thomas menduduki tangga ketiga.

Amirul berkata, apa yang berlaku itu memberi pengalaman baru kepada dirinya.

“Tayar belakang saya pancit kira-kira 18 kilometer dari garisan penamat dan saya terpaksa mengekori kereta pasukan hinggalah kereta terakhir berada berdekatan saya,” kata Amirul.

“Saya tidak mengekori kereta pasukan dalam tempoh lama, cuma dua atau tiga minit.

“Ini adalah kali pertama saya dikenakan penalti sebegini. Saya tidak faham dengan peraturannya.

“Memang ia sesuatu yang mengecewakan tetapi saya menerima keputusan yang dibuat penganjur. Ia memang salah saya.

“Masih ada empat peringkat lagi dan saya masih ada peluang untuk mencabar terutamanya apabila perlumbaan mendaki Gunung Jerai (peringkat empat) nanti,” katanya.

Penalti itu juga tidak menjejaskan kedudukan Amirul dalam senarai mata (jersi hijau) dan dia mendahului dengan kelebihan 26 mata.

Thomas mengetuai saingan pelumba muda (jersi kelabu) manakala pelumba Sapura Cycling Team, Zawawi Azman muncul pelumba terbaik Malaysia (jersi merah).

Peringkat kedua hari ini menyaksikan pelumba mengharungi perjalanan sejauh 145.30km dari Lumut ke Kuala Kurau dan saingan sengit dijangka berlaku di laluan landai di Pantai Remis, Trong dan Bagan Serai. – HARIAN METRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here