Nasi dagang, keropok lekor Terengganu tembusi pasaran antarabangsa

0
171

Pemgeluar makanan sejuk beku Nasi Dagang dan keropok lekor, Terengganu Kitchen Sdn Bhd (T-Kitchen) melakar satu lagi cerita kejayaan (success stories) selepas berjaya kini menembusi pasaran antarabangsa iaitu di Australia dan United Kingdom (UK).

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata pencapaian ini dihasilkan dengan kerjasama syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd untuk pasaran Australia dan Eropah manakala Chicken Cottage Investment Ltd untuk pasaran di London.

“Minggu lalu, kami baru saja memasarkan 10,000 bungkus nasi dagang dan keropok lekor ke London dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara T-Kitchen dengan Brahim’s SATS Food Services Sdn Bhd (Brahim’s) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang tadi.

 

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Brahim’s Holdings Bhd, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi; Naib Presiden DPIM Terengganu, Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan Pengarah T-Kitchen, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi T-Kitchen optimis lebih banyak pasaran luar negara akan diterokai melalui kerjasama dengan Brahim’s dan DPIM termasuk di Asia Tenggara serta Asia Barat.

“Kami yakin kerjasama strategik ini akan membuka jalan kepada perkongsian makanan tradisional Terengganu ke seluruh dunia. Malah kami dalam proses penyelidikan untuk menghasilkan pelbagai produk makanan tradisional Terengganu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, T-Kitchen meletakkan sasaran jualan sebanyak RM2.5 juta pada tahun 2018 untuk kedua-dua produk makanan tersebut di luar negara di mana RM1.3 juta (240,000 bungkus) unjuran jualan daripada Brahim’s dan RM1.2 juta (220,000 bungkus)
untuk DPIM.

Menurut beliau kilang T-Kitchen di Chendering mampu mengeluarkan 5,000 bungkus sehari produk sejuk beku dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 10,000 bungkus sehari jika mendapat permintaan tinggi pada masa depan dan kerajaan negeri melalui Terengganu Inc telah melabur RM2 juta bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran produk di kilang tersebut. – www.Terengganu.News

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here