Meninggal dunia cuba selamatkan anak dalam kebakaran (9 Gambar)

0
3148

KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kuala Ibai maut dipercayai sesak nafas selepas menyelamatkan anaknya dalam kejadian kebakaran di Kampung Kuala Ibai, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 8.40 pagi tadi, mangsa Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, ditemui terbaring di halaman rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan memeluk anak lelakinya, Muhammad Aqil Harith yang berusia tiga tahun.

Menurut anak saudara mangsa, Amad Shahir Azizi Ahmad Zulfa, ketika berbual bersama neneknya dia terdengar bunyi letupan lalu bergegas keluar rumah sebelum melihat api marak dari rumah bapa saudaranya.

Katanya, dia cuba mengejutkan bapa saudaranya beberapa kali namun tiada tindak balas.

“Mula-mula saya ingatkan orang bakar sampah sebab tak dengar pula dia meminta tolong. Lepas tu saya terdengar bunyi cermin pecah dan nampak asap keluar banyak.

“Bila saya pergi ke depan saya tengok dia sedang terbaring bersama anaknya dan saya angkat dia letak ke tepi,” ujarnya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Azlimin Mat Noor berkata, ketika tiba api sedang marak membakar kediaman dua tingkat itu.

Katanya, seramai 18 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika pasukan bomba sampai, kita dapati mangsa telah dikeluarkan oleh keluarga dan berada dalam keadaan lemah.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sejurus selaps itu,” ujarnya.

Azlimin berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal kebakaran dari merebak ke rumah sebelah.

Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here