MAPEX Terengganu jadi acara tahunan, tawar rumah harga istimewa

0
1247
Tengku Putera melihat contoh model rumah PMINT yang dijual di Expo Hartanah Malaysia (MAPEX) Terengganu 2017 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).

Kuala Terengganu – Expo Hartanah Malaysia (MAPEX) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) dari 23 hingga 25 Mac merupakan expo kali pertama diadakan di negeri Terengganu dan akan dijadikan sebagai acara tahunan kerana ia terbukti menawarkan pelbagai jenis rumah pada harga terbaik kepada pembeli sepanjang expo ini berlangsung.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, expo seperti ini wajar diadakan secara kerap dan merupakan expo hartanah terbesar pernah diadakan di negeri ini.

‘MAPEX Terengganu 2017 buat julung-julung kalinya diadakan di Negeri Terengganu yang dianjurkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Terengganu serta merupakan ekspo hartanah yang terbesar pernah dianjurkan di negeri ini dan pihak kerajaan negeri amat berharap ianya akan menjadi ekspo tahunan pada masa akan datang’.

‘Ianya memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk memiliki kediaman mereka dengan pelbagai pilihan yang akan ditawarkan dengan harga yang terbaik’.

‘Industri perumahan merupakan salah satu sektor yang amat penting dan diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri Terengganu bagi memastikan rakyat negeri ini yang terdiri daripada pelbagai golongan sama ada berpendapatan rendah, pertengahan dan tinggi mampu untuk memiliki kediaman impian mereka’.

‘Kerajaan negeri juga telah merangka Dasar Perumahan Negeri Terengganu yang baru agar keseimbangan pemilikan hartanah bagi setiap golongan dapat dicapai dan pihak Kerajaan Negeri juga akan mengambil pandangan daripada pemain industri hartanah terutamanya Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Terengganu agar dasar serta hasrat kerajaan dapat mengambil kira keperluan rakyat negeri ini disamping akan menggalakkan pemaju-pemaju swasta menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk mereka’.

‘Pihak Kerajaan Negeri amat menggalakkan ekspo sebegini kerana ianya memberi ruang kepada pemaju hartanah tempatan yang terdiri daripada pemaju swasta dan syarikat milik kerajaan untuk memasarkan produk hartanah mereka memandangkan inilah satu-satu pameran hartanah di Negeri Terengganu yang berjaya mengumpulkan produk hartanah tempatan dalam skala yang besar di bawah satu bumbung’.

Baca : Sasaran 10 ribu pengunjung Expo MAPEX Terengganu 2017

‘Oleh kerana isu kelulusan pinjaman perumahan menjadi isu besar dialami oleh sektor hartanah diseluruh negara, maka Kerajaan Negeri juga amat mengharapkan pihak institusi kewangan memberi sedikit kelonggaran bagi kelulusan pinjaman perumahan bagi memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah impian mereka’ katanya dalam teks ucapan yang dibaca oleh EXCO Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang tengah hari tadi.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah & Perumahan (REHDA) Terengganu Mohamad Hishamudin Muda.

MAPEX Terengganu 2017 bukan sahaja disertai pemaju hartanah, tetapi terdapat juga agensi lain seperti pihak bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan juga anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang turut serta memberikan tawaran produk mereka pada harga yang istimewa selama tiga hari ekspo ini berlangsung khas untuk rakyat negeri ini. – Terengganu Times

 

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here