Mangsa samun tikam perompak dibebaskan

0
1364

KES membabitkan perompak maut ditikam mangsanya di rumah di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, minggu lalu, mendapat arahan NFA (tiada tindakan lanjut) daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Sehubungan itu, mangsa samun berusia 32 tahun dalam kejadian terbabit sudah dibebaskan daripada tahanan reman, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kertas siasatan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum kes itu mendapat arahan NFA.

“Kes dirujuk ke Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Saiful Edris Zainuddin di Putrajaya berkaitan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan sudah dirujuk dan mendapat arahan NFA mengikut Seksyen 99 Kanun Keseksaan.

“Lelaki yang ditahan reman juga sudah dibebaskan pada 8 Januari lalu dan tiada pendakwaan yang dilakukan,” katanya.

Terdahulu, mangsa samun itu ditahan reman bagi membantu siasatan selama tujuh hari bermula 4 Januari lalu, berakhir hari ini.

Dalam kejadian 2.45 petang, 3 Januari lalu, lelaki berusia 32 tahun bersenjatakan pemutar skru yang memecah masuk rumah mangsa maut apabila ditikam mangsa menggunakan pisau pemotong sayur ketika pergelutan berlaku antara mereka.

Mangsa yang juga penghuni rumah itu dilaporkan parah di kepala, manakala suspek lelaki kejadian samun itu ditemui terbaring dan meninggal dunia di lorong belakang rumah mangsa sejurus kejadian.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, untuk bedah siasat dan hasil bedah siasat mengesahkan kematiannya berpunca akibat kesan tikaman di leher.

Mangsa samun pula mendapat lapan jahitan di kepala dan ditahan reman selepas kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here