Liga Super: KL, Terengganu perlu dapat lesen

0
2692

KUALA LUMPUR – Pasukan Kuala Lumpur (KL) dan Terengganu perlu mendapatkan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dulu sebelum boleh beraksi dalam Liga Super musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam ketika mengesahkannya bagaimanapun berkata kedua-dua pasukan berkenaan bersama beberapa pasukan Liga Perdana yang lain sudah pun membuat permohonan lesen sebelum ini.

“Cuma bagi Kuala Lumpur dan Terengganu, mereka mungkin perlu mencapai satu tahap kelayakan (yang sama taraf dengan pasukan Liga Super).

“Tapi kalau permohonan Kuala Lumpur dan Terengganu kurang (lengkap) sepenuhnya, mereka mungkin akan diberi kelonggaran dan tempoh tertentu untuk memenuhi syarat utama termasuk status kewangan pasukan.

“Semua itu atas budi bicara First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM dan untuk pasukan pelesenan kelab Liga Perdana, badan berkenaan masih belum bersidang,” katanya di sini, hari ini.

Kuala Lumpur dan Terengganu mengesahkan tempat untuk bersaing dalam Liga Super musim depan selepas mengungguli dua tangga teratas Liga Perdana.

Sebelum ini, permohonan tujuh pasukan Liga Super untuk mendapatkan lesen berkenaan sudah diluluskan FAM, manakala lima lagi masih dalam proses rayuan.

Tujuh pasukan itu termasuk JDT, Pahang, Selangor, PKNS FC, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan T-Team FC.

Pasukan yang masih di peringkat rayuan adalah FELDA United FC, Kedah, Kelantan, Melaka United dan Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Kevin percaya penundaan aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia tidak akan mengganggu jadual Liga Malaysia (Liga M).

“Saya rasa tidak menjadi masalah (penundaan aksi Korea Utara dan Malaysia kerana kebiasaannya mereka (Konfederasi Bola Sepak Asia) akan adakan perlawanan itu mengikut kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

“Cuma kita harap penjadualan semula perlawanan itu dapat diadakan pada satu masa yang sesuai bagi membolehkan pasukan kebangsaan melakukan persiapan rapi,” katanya. BERITA HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here