Liga Super 2018: Wan Azraie kembali sarung jersi Terengganu

0
684

KUALA TERENGGANU – Penjaga gol utama skuad Pahang musim ini, Wan Azraie Wan Teh bakal menyarung jersi skuad Terengganu musim depan.

Dengan kembalinya pemain kelahiran Kuala Ibai Terengganu itu yang juga bekas penjaga gawang T-Team musim lalu akan memantapkan lagi benteng terakhir skuad Peteh Terengganu Peteh itu yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Berita gembira itu dimaklumkan ketua jurulatih skuad itu, Irfan Bakti Abu Salim yang menyasarkan keputusan lebih baik musim depan selepas berjaya membawa pasukan itu ke saingan liga utama.

“Ya kita akan mengikat bekas penjaga gol Pahang itu (Wan Azraie) bagi memperkuatkan posisi berkenaan musim depan.”

“Setakat ini rundingan berjalan lancar dan pemain itu tidak menghadapi masalah bersama dengan kita,” kata Irfan Bakti.

Musim ini benteng terakhir skuad Penyu itu bagaikan dilanda ‘virus’ selepas nasib malang menimpa tiga penjaga gol pasukan itu.

Bermula dengan kapten Sharbinee Allawee Ramli yang terpaksa berehat sehingga habis musim ini selepas hanya beraksi tiga perlawanan kerana masalah kesihatan sebelum disusuli penjaga gol kedua Amierul Hakimi Awang yang terpaksa berehat lebih dua bulan kerana kecederaan serta Syazwan Yusof juga terpaksa diketepikan selepas mengalami masalah sama.

Berdasarkan rekod, bekas penjaga gol Shahzan Muda berusia 31 tahun itu beraksi cemerlang bersama pasukan Tok Gajah musim ini sehingga berjaya membantu pasukannya menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

Kehadiran penjaga gol yang pernah menyarung jersi Terengganu itu juga dijangka sengit kerana bakal bersaing dengan Suffian Abdul Rahman, Sharbinee dan Syazwan sebagai penjaga gol nombor satu. BERITA HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here