Lelaki mati dengan pisau di dada, disyaki bunuh diri

0
558

SEORANG lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman senjata tajam di dadanya di Kampung Tupong Batu, Petra Jaya, petang semalam.

Mayat mangsa, Mohd Rahzib Kawi, 29, ditemui oleh sepupunya di depan rumahnya pada jam 4 petang.

Sepupunya yang hanya dikenali sebagai Nor Raizan berkata, ketika dijumpai, mangsa sudah kaku dan beliau segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

“Saya jumpa dia terbaring di depan rumahnya dengan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa,” katanya.

Mangsa yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Turut terkilan dengan kejadian itu, abang mangsa yang enggan namanya disiarkan.

“Akhirnya dia (Rahzib) ‘pergi’ selepas beberapa kali mencuba (bunuh diri) sebelum ini tetapi tidak berjaya.

“Saya tidak menyangka cubaan kali ini sehingga dia menemui ajalnya,” katanya dengan nada sebak.

Menurutnya, mangsa tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh sejak kebelakangan ini.

Hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa, pihak perubatan mengesahkan terdapat tiga kesan tikaman yang dalam pada bahagian dada.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan kejadian itu.

“Saya ada dimaklumkan tentang kejadian itu dan mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here