Larangan pekerja wanita bertudung hina Islam – Harussani

0
154

IPOH – Larangan pekerja wanita bertudung terutamanya oleh hotel bertaraf antarabangsa di negara ini disifatkan sebagai menghina Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, syarikat perhotelan antarabangsa seharusnya mengetahui budaya dan latar belakang sesebuah negara, termasuk Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Menurutnya, sebarang prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa yang diguna pakai hendaklah disesuaikan dengan undang-undang di negara ini.

“Apa salahnya nak pakai tudung dalam negara Islam. Kenapa nak diskriminasi kepada orang Islam sahaja sedangkan ia tak patut berlaku.

“Memang diketahui pemakaian tudung adalah wajib bagi wanita Muslim. Tak patut kenakan syarat ini melainkan mereka memang sengaja nak menghina Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas mengenai larangan pekerja hotel wanita untuk bertudung khususnya yang berada di bahagian perkhidmatan pelanggan (front desk) di hotel-hotel tertentu khususnya hotel antarabangsa.

Harussani berkata, diskriminasi seperti itu tidak wajar berlaku di negara ini dan agama Islam sebagai agama rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan harus dipertahankan.

“Sepatutnya orang Islam tidak boleh akur dengan peraturan seperti ini. Takut kepada ALLAH lebih utama dari takutkan manusia. Kita bertuhankan ALLAH, bukan bertuhankan manusia,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilaporkan mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.

MAH menafikan larangan yang dikenakan itu adalah satu bentuk diskriminasi sebaliknya berpendapat ia sebahagian daripada polisi antarabangsa.

Presidennya, Cheah Swee Hee menjelaskan setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here