Komando diarah jaga peperiksaan kerana ramai yang meniru

0
616

MUMBAI – India buat pertama kali me­ngerah komando dari unit antikeganasan dan pegawai risikan tentera menghalang aktiviti meniru dalam kalangan pelajar yang menduduki peperiksaan yang akan melayakkan mereka memasuki universiti.

Portal Al-Arabiya melaporkan, langkah itu dilaksanakan di negeri Uttar Pradesh ke atas 6.6 juta pelajar kelas 10 dan 12 yang menduduki peperiksaan Lembaga Negeri bermula 6 Februari hingga 12 Mac ini.

Pada masa sama, bagi memastikan peperiksaan itu bebas akti­vi­ti tidak bermoral, pegawai polis dan kakitangan jabatan pendidikan membuat pemantauan elektronik menerusi rakaman kamera litar tertutup dan siaran langsung daripada hampir 10,000 pusat peperiksaan.

“Kami tidak akan benarkan sesiapa terlepas kali ini,” kata Timbalan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Dinesh Karma.

Karma menjelaskan, terdapat mafia meniru di seluruh negara yang kegiatannya dibiayai sama ada oleh pelajar mahupun oleh ibu bapa dengan jumlah bayaran yang mahal.

“Namun kami membuat keputusan untuk menangani jenayah pendidikan menggunakan Pasukan Petugas Khas (STF), dengan tugas utamanya adalah menewaskan pengganas serta agensi risikan yang biasanya memantau aktiviti subversif dan antinasio­nal,” katanya.

Seorang ahli pendidikan terkemuka yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, agak musta­hil untuk memasuki pengajian pe­­ringkat tertinggi di India jika pelajar itu tidak cemerlang dalam peperiksaan mereka.

“Jadi ini bermakna, pelbagai cara akan dilakukan bagi memastikan pelajar mendapat markah tinggi dalam peperiksaan,” katanya.

Tambah beliau yang mengesahkan kewujudan mafia meniru, penjenayah pendidikan amat celik teknologi dan aktiviti meniru boleh dilakukan menerusi mesej telefon pintar selain kaedah la­ma iaitu memberi rasuah kepada pegawai peperiksaan selain membeli kertas soalan bocor daripada pegawai yang menguruskan peperiksaan.

Pada 2017, hampir 2,000 orang pelajar didapati meniru di negeri Uttar Pradesh sahaja manakala di wilayah Bihar, rangkaian tele­visyen tempatan dua tahun lalu merakam ibu bapa dan ahli keluarga pelajar memanjat dinding sebuah bangunan sekolah empat tingkat untuk memberi jawapan peperiksaan melalui tingkap.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here