Khabar angin senarai pemain Terengganu 2018?

0
10282
Khabar angin senarai pemain Terengganu 2018 kini berlegar di media sosial.

Minggu ini peminat bola sepak Terengganu dibanjiri khabar angin senarai awal keluar masuk pemain baru untuk musim Liga Malaysia 2018.

Seperti tahun-tahun yang lalu spekulasi pemain yang akan masuk dan keluar berlegar di media sosial sebaik liga berakhir walaupun ia belum disahkan oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Yang terbaru beberapa page Facebook bola sepak Terengganu telah menyiarkan senarai pemain yang dikekalkan dan bakal meninggalkan Skuad penyu pada musim depan.

Dalam senarai khabar angin itu antara pemain yang dikatakan tidak disambung kontrak dari pasukan Peteh iaiah pemain import dari Kanada/Jepun Issey Nakajima Farran, kapten pertahanan Lazaro Vinicius, Ferris Danial, Ridzuan Abdullah, Adam Othman, Ezaidy Khadar, Izuan Jarudin dan penjaga gol Suffian Rahman.

Issey yang lebih dikenali sebagai Issey Nasi Dagang telah bersama dengan Terengganu sejak tahun 2015 lalu dan juga merupakan pemain kebangsaan Kanada.

Sementara itu pemain yang dikekalkan termasuk penyerang import dari Ivory Coast Kipre Tchetche, Ismail Faruqi, Abdul Latiff, J.Partiban, Adib Aizuddin, Radhi Yusof, penjaga gol Syazwan Yusoff, Messi Terengganu Faiz Nasir, Firdaus Fauzi, Nasrullah Haniff dan Sharbinee Allawee yang dilaporkan sudah sembuh dari jangkitan kuman.

Kesemua yang dikekalkan ini diberi masa selama 14 hari untuk memberi jawapan sama ada menerima tawaran PBSNT atau sebaliknya.

Selain itu enam lagi tonggak iaitu Syukor Jusoh, Hazeman Abdul Karim, Sharin Sapien, Amirul Syahmi, penjaga gawang Hakimi Awang dan pemain pertahanan Hafizal Mohamad diberi pilihan ke satu lagi pasukan T-Team (Terengganu II).

Walau bagaimanapun, setakat ini pengurusan PBSNT masih belum memberi kenyataan berhubung maklumat ini dan ia masih belum muktamad.

Sabtu lalu Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Dato’ Rozi Mamat memberitahu tiga pasukan – Terengganu, T-Team dan Hanelang akan dibuat penstrukturan semula bagi mengemaskini pasukan ekoran tiada pencapaian membanggakan sejak sedekad lalu.

Terengganu menamatkan kempen Liga Malaysia dengan menduduki kedudukan kedua yang melayakkannya melangkah ke Liga Super selain mara ke peringkat separuh akhir dalam saingan Piala FA namun terkandas di peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Ketua jurulatih Pahlawan Penyu Haji Irfan Bakti Abu Salim kini sedang merangka strategi terbaik termasuk mengenal pasti pemain import dan tempatan berkualiti bagi memperkuatkan pasukan Terengganu dalam liga paling kompetitif di negara ini kerana persiapan ini amat penting supaya mampu bersaing dengan pasukan gergasi seperti JDT, Kedah, Felda dan pasukan lain.

Sebagai penyokong setia Hitam Putih, ramai yang mengharapkan Terengganu dapat membuat kejutan dan yakin dengan kepimpinan PBSNT yang diketuai oleh Presiden Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Menteri Besar untuk melonjakkan prestasi Terengganu setaraf dengan pasukan lain pada musim yang akan datang. – Terengganu Times

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here