“Kesian, Benda Tu Pun Nak Dicurinya…”

0
578

PETALING JAYA – Perbuatan seorang gadis mencuri alas kaki di sebuah kedai dobi 24 jam di Subang 1 ‘kantoi’ apabila aksinya itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku berhampiran flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini, wanita terbabit bersama dua rakan lelakinya bersekongkol melakukan kegiatan terbabit kira-kira jam 11.38 malam.

Dalam video berdurasi dua minit 34 saat itu, kelihatan tiga remaja memberhentikan motosikal mereka di hadapan kedai dobi berkenaan.

Pada awalnya, seorang remaja lelaki berpura-pura masuk ke dalam premis tersebut dan mengesat kakinya pada alas kaki yang diletakkan di hadapan premis berkenaan.

Namun, remaja terbabit keluar semula dari kedai dobi tersebut sebelum seorang gadis yang dipercayai rakan suspek memainkan peranannya.

Gadis berpakaian kemeja-T putih dilihat duduk di hadapan premis tersebut sambil menarik alas kaki itu sedikit demi sedikit.

Bagaimanapun, dia keluar semula dari premis itu berkemungkinan takut perbuatannya disedari pelanggan dobi berkenaan.

Sambil memerhatikan keadaan sekeliling, gadis tersebut tanpa rasa bersalah terus menarik dan melarikan alas kaki tersebut.

Di penghujung rakaman, ketiga-tiga remaja terbabit beredar dari kawasan kejadian bersama-sama dengan alas kaki tersebut dengan menaiki dua motosikal.

Rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut dan tidak menjangka barang yang dicuri gadis tersebut hanya pengalas kaki.

Tidak kurang juga menyifatkan perbuatan gadis ‘rempit’ itu sebagai terdesak dan amat memalukan.

“Kasihan betul budak-budak tu, benda tu pun nak dicurinya, miskin sangat ke?”tulis Amin Mokazar.

“Dia mencari tempat alas badan..maklumlah malam nanti nak kena ‘berjemaah’..hahaha,” kata Muhd Azman.

Rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook Mynewshub itu sehingga kini ditonton sebanyak 175,000 dan dikongsi 259 kali di laman sosial. – MYNEWSHUB.CC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here