Kes dera: Nur Aina Nabihah tak pernah buka aib ayahnya

0
1351

PORT DICKSON “Arwah tak pernah buka aib atau burukkan ayah dia, tak pernah cerita kena pukul, cuma selalu beri alasan jatuh basikal apabila ditanya tentang kesan lebam di muka,” kata jiran kepada kanak-kanak yang mati dipercayai didera, Nur Aina Nabihah Muhamad,9.

Jiran yang enggan dikenali itu berkata, dia memang pernah nampak kesan lebam di wajah Nur Aina Nabihah tetapi kanak-kanak itu selalu menggunakan alasan jatuh basikal.

“Itu yang bila jadi macam ni, kami jiran-jiran memang terperanjat sangat.

“Bunyi mak bapak marah anak-anak di kawasan perumahan ni memang perkara biasa, sebab rumah dekat-dekat, jadi jiran-jiran memang boleh dengar.

“Tapi apa yang berlaku pada keluarga tu (Nur Aina Nabihah) memang sangat memeranjatkan kami, rasa ralat juga sebab kematian dah berlaku,” katanya.

Sementara itu, guru mengaji Al-Quran Nur Aina Nabihah yang juga enggan dikenali berkata, beberapa jam sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia, dia datang ke kelas mengaji dalam keadaan murung.

“Lepas maghrib, semalam (Khamis) arwah datang mengaji dan selesai sahaja gilirannya dia terus balik, selalu pun memang macam tu.

“Sebelum balik, masa salam, arwah kata… ‘bye nek’… dia dan budak-budak lain memang panggil saya nenek,” katanya.

Katanya lagi, arwah seorang anak yang baik dan belajar mengaji dengannya sejak dua tahun lalu.

“Dia belajar dari buku Iqra’ dan sekarang dah juzuk lima Al-Quran.

“Tengah malam hari tu (Khamis) mak tiri dia talefon saya, nak minta tolong hantarkan dia ke hospital (Hospital Tuanku Jaafar Seremban).

“Masa tu baru saya tahu arwah ni dah meninggal dunia.

“Lagi terkejut apabila dapat tahu penderaan yang berlaku ke atasnya. Ibu bapa arwah ni saya tengok baik orangnya, memang tak sangka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here