Kerajaan negeri cakna ‘sokmo’ kebajikan bola sepak Terengganu, usaha tingkat prestasi

0
605

Kerajaan negeri cakna ‘sokmo’ kebajikan bola sepak Terengganu, usaha tingkat prestasi

Kebajikan bola sepak pasukan Terengganu FA dan T-Team FC sentiasa dijaga dan diberikan keutamaan oleh kerajaan negeri sepanjang tahun ini dan tahun sebelumnya.

Peruntukan tahunan untuk kedua-dua pasukan mencecah lebih RM30 juta bagi urusan pembayaran gaji dan keseluruhan pentadbiran memperlihatkan komitmen kerajaan negeri yang prihatin dengan perkembangan sukan bola sepak di negeri ini bagi bersaing dengan pasukan lain dalam Liga Malaysia.

Bajet yang besar memperlihatkan bukan tugas senang untuk mencari sumber kewangan yang besar pada setiap tahun bagi sukan bola sepak.

Ia ditambah dengan kesanggupan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman menjawat jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang bertujuan mengembalikan prestasi Terengganu ke tahap terbaik selain menaikkan moral penyokong setia Hitam Putih.

Semua pembayaran gaji kepada para pemain dan pegawai dibayar mengikut jadual tanpa ada masalah.

Pencapaian Skuad Penyu yang berjaya melangkah ke saingan Liga Super 2018 dan muncul naib juara Liga Perdana 2017 merupakan kejayaan yang membanggakan kerana ia bukan tugas yang mudah dan telah melepasi KPI yang ditetapkan oleh kerajaan negeri pada tahun 2017.

Kali terakhir Terengganu bergelar juara adalah pada tahun 2011 iaitu menjuarai piala FA di bawah kerajaan Barisan Nasional yang terus menerus menyalurkan bantuan kewangan untuk pembangunan sukan negeri ini.

Bagi membentuk pasukan ke tahap lebih tinggi, kerajaan negeri melalui EXCO Belia, Sukan dan Sumber Manusia Dato’ Rozi Mamat, pengurusan PBSNT dan barisan kejurulatihan yang diketuai Haji Irfan Bakti Abu Salim telah bersetuju untuk melakukan penstrukturan semula ke atas keseluruhan pasukan termasuk mencari khidmat pemain import berkualiti untuk pasukan Peteh pada musim depan.

Jelas sekali kerajaan negeri pimpinan MB Razif amat cakna dengan sukan bola sepak yang merupakan sukan paling popular di Terengganu dan mempunyai misi besar mampu bersaing dengan pasukan lain bak kata peribahasa Melayu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Transformasi dalam bola sepak yang dilakukan berjalan mengikut apa yang dirancangkan bukan sahaja untuk jangka pendek tetapi juga jangka panjang termasuk penekanan dalam program pembangunan akar umbi.

Terengganu Molek Doh!

-Terengganu Times

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here