Kerajaan BN Terengganu pandang serius isu pengangguran

0
1605
YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri

Kerajaan negeri memandang serius isu peningkatan kadar pengangguran yang berlaku di negeri ini sejak tahun 2015.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri Yang Berhormat (YB) Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, kerajaan negeri tetap mencari beberapa pendekatan terbaik untuk menangani masalah ini walaupun ramai sedia maklum ia berpunca daripada kejatuhan harga besi dan harga minyak di peringkat antarabangsa.

“Disebabkan kejatuhan harga dua komoditi utama dunia itu, semakin ramai pekerja Terengganu terutama di Kemaman diberhentikan kerana kilang yang terlibat dengan dua industri tersebut tidak lagi beroperasi.

“Ia menyebabkan kadar pengangguran di Terengganu menjadi lebih tinggi dari kadar nasional untuk tahun 2015 (4.0 peratus berbanding 3.2 peratus) dan pada tahun 2016 (4.2 peratus berbanding 3.4 peratus),” katanya ketika diminta memberi komen tentang paparan video wakil rakyat pembangkang Pas yang menuduh kadar pengangguran di Terengganu adalah paling tinggi pada tahun 2016.

Tambah Wan Hakim harga besi yang jatuh mendadak pada 2015 telah mengakibatkan kilang besi Perwaja di Kemaman menutup operasinya.

“Ribuan pekerja telah diberhentikan dan proses pemberhentian pekerja ini sudah bermula sejak tahun 2012 lagi’.

“Perancangan kerajaan negeri ialah sebuah lagi kilang besi di Kemaman iaitu Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) akan mengambil pekerja-pekerja yang diberhentikan Perwaja Steel ini, bagaimanapun ESSB turut terjejas dan terpaksa menangguhkan operasi mereka disebabkan harga pasaran besi yang jatuh merudum pada tahun 2015′.

“Dalam masa yang sama, kejatuhan harga minyak telah memperlahankan aktiviti teroka cari gali minyak serta aktiviti-altiviti huluan dan ia memberi impak yang negatif pada kegiatan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB)’.

“Situasi ini menyebabkan jumlah pekerja yang diberhentikan semakin ramai sekaligus menyebabkan kadar pengangguran di Terengganu menjadi tinggi dari biasa,” tambahnya.

Namun begitu menurut Adun Air Putih itu keadaan ini dijangka kembali normal dengan harga besi dunia yang semakin stabil pada masa ini.

“Eastern Steel akan mula beroperasi dengan sepenuhnya pada Mei depan dan pengambilan pekerja akan dibuat tidak lama lagi’.

“Satu syarikat gergasi dari China yang mengeluarkan bitumen pula akan mengambil alih aset-aset Perwaja Steel dan akan menawarkan ribuan pekerjaan baharu di Kemaman,” katanya.

Beliau menegaskan semua statistik berkenaan hal ini perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan dari sebahagian sudut sahaja.

“Ini kerana pada tahun 2016, Pendapatan Pertengahan Isi-rumah (Median Household Income) menunjukkan Terengganu bersama Negeri Sembilan telah melonjak mengatasi tahap kebangsaan 2014 berbanding dengan tujuh negeri lain.

“Ini menunjukkan ekonomi rakyat dari sudut pendapatan telah meningkat di negeri Terengganu dari tahun 2014 iaitu RM 3,777 melonjak kepada RM4,694 pada tahun 2016 walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi ketika itu,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here