Kassim Ahmad pesan anak-anak amalkan al-Quran

0
323

KULIM – Tokoh akademik, Kassim Ahmad, 84, yang meninggal dunia hari ini meminta anak-anaknya berpegang pada ajaran Islam yang sebenar dengan berpandukan al-Quran.

Anak kedua Allahyarham, Ah­mad Shauqi Kassim, 50, berkata, bapanya sentiasa memberi na­sihat tentang kehidupan.

“Pada masa sama, beliau mahukan keadilan buatnya diperjuangkan kerana berasakan pernah dilayan secara tidak adil oleh pihak tertentu sebelum ini,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Kassim meninggal dunia di Hospital Kulim pukul 10 pagi ini selepas koma selama hampir 30 jam akibat masalah berkaitan paru-paru dan pernafasan.

Aktivis itu kali pertama dima­sukkan ke hospital 16 September lalu bagi mendapatkan rawatan untuk jangkitan paru-paru dan injap jantung tersumbat sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Ahmad Shauqi ber­kata, bapa­nya sekali lagi dimasukkan ke hos­pital beberapa hari lalu selepas keadaannya membimbangkan sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Allahyarham terke­nal dengan karya ‘Ha­dis: Satu Penilaian Semula’, sebuah kajian kritikal ke atas kewibawaan hadis sebagai sumber Islam dan buku itu diha­ramkan kerajaan pada 1986 selain menyebabkan beliau dilabelkan sebagai antihadis.

Pada seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian – Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang pada 2014, beliau mendakwa golongan ulama mengawal Islam di Malaysia sama seperti sistem kepaderian dan mempersoalkan penggunaan hadis untuk me­nerangkan ajaran al-Quran.

Jenazah Kassim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda Jalan Kilang Lama selepas solat Isyak, semalam. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here