JM2017: Harrif julang TSG di Alor Setar

0
324
PELUMBA dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh (kiri) meraikan kemenangannya selepas menamatkan perlumbaan sejauh 132.8 kilometer pada peringkat kelima Jelajah Malaysia 2017. – Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Kejayaan pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh memenangi perlumbaan peringkat kelima melengkapkan dominasi cemerlang pasukan tempatan di Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) yang berakhir, sebentar tadi.

Pemenang emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu membuktikan dia paling pantas apabila perlumbaan berakhir dalam pecutan beramai-ramai dengan melakarkan masa tiga jam 08 minit 07 saat untuk muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat di hadapan Menara Alor Setar.

“Apabila berpeluang untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok besar, saya tidak akan melepaskannya dan akhirnya peluang itu hadir pada hari terakhir,” kata Harrif selepas menamatkan perlumbaan sejauh 132.8 kilometer.

“Sejak peringkat pertama, berlaku banyak pemecahan dengan perlumbaan tidak berakhir dalam pecutan beramai-ramai, namun hari ini adalah rezeki saya,” katanya.

Kejayaan pakar pecut berusia 29 tahun itu melengkapkan kemenangan peringkat ketiga TSG selepas Nur Amirull Fakharuddin Mazuki dan Adiq Husainie Othman memenangi peringkat pertama dan kedua.

Lebih manis, Amirull yang menamatkan saingan pada kedudukan ketiga hari ini, mengesahkan gelaran Raja Pecut dengan mengumpul 50 mata.

Edisi ke-53 perlumbaan turut melakarkan persembahan cemerlang sebuah lagi pasukan benua tempatan, Team Sapura Cycling (TSC) yang muncul pasukan terbaik di kalangan 18 pasukan yang bertanding apabila mengumpul 49.43:47s secara keseluruhan.

Ia mengulangi pencapaian yang dilakukan Le Tua Cycling Team (LeTua) pada edisi 2010 yang muncul pasukan terbaik keseluruhan.

TSC turut memenangi peringkat pendakian ke puncak Gunung Jerai semalam menerusi pelumbanya, Wilmar Jahir Perez Munoz sekali gus menobatkan pelumba dari Columbia berkenaan meraih gelaran Raja Bukit.

Gelaran pelumba terbaik Malaysia yang menyarung jersi merah turut diraih TSC menerusi Muhammad Zawawi Azman apabila mengumpul 16.38:02s secara keseluruhan.

Pengarah Sukan TSC, Sergi Oscar Escobar Roure jelas gembira dengan kejayaan anak buahnya terutamanya selepas muncul pasukan terbaik dan berharap lebih banyak kejayaan mampu dikecapi mereka.

Dua lagi jersi diraih pasukan benua dari Australia, Oliver’s Real Food Racing apabila Brendon Davids menyarung jersi kuning selaku juara individu keseluruhan manakala Ryan Thomas muncul pemenang jersi kelabu sebagai pelumba muda terbaik. – berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here