Irfan Bakti belum pasti bersama Terengganu musim depan

0
768

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengakui belum membuat sebarang keputusan berhubung statusnya bersama pasukan itu untuk saingan musim depan.

Irfan menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk memimpin Sang Penyu kembali ke kancah Liga Super dan ia disempurnakan selepas hanya satu musim dalam Liga Perdana.

Namun, ketua jurulatih berpengalaman itu enggan mengesahkan kedudukannya, dengan kontraknya bersama PBSNT akan tamat 30 November ini.

“Sudah tentu saya berbangga dengan pengalaman membawa tiga pasukan, iaitu Telekom Melaka (TMFC), Felda United dan Terengganu kembali ke Liga Super dalam sekali percubaan.

“Untuk musim depan, saya tidak boleh cakap apa-apa lagi kerana akan berunding dengan pihak pengurusan terlebih dahulu,” katanya.

Sentuhan magis Irfan sememangnya ditagih, khususnya oleh peminat setia Terengganu, yang kali terakhir mengecapi sebarang kejuaraan pada 2011 dengan menjulang Piala FA, juga di bawah kendaliannya.

Bagaimanapun jodoh Irfan bersama pasukan itu tidak panjang apabila berhijrah ke Selangor musim berikutnya sebelum kembali ke Kuala Terengganu, November tahun lalu.

Ketika diusik sekiranya masih berminat mahupun sudah ‘sebelah kaki’ kekal bersama Terengganu, Irfan masih mahu berteka-teki.

“Saya suka merantau,” jawabnya ringkas. – STADIUM ASTRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here