‘Insya-Allah, tahun depan milik kita pula’ – MB Razif

0
480

Menteri Besar Dato Seri Ahmad Razif Abd Rahman mahu pasukan hoki Terengganu melupakan kekalahan pada malam ini dan berusaha lebih gigih untuk merampas kembali kejuaraan Piala Tun Abdul Razak pada tahun hadapan.

Beliau berkata, Terengganu telah menunjukkan satu semangat juang yang tinggi dalam perlawanan akhir di Stadium Azlan Shah malam tadi walaupun mereka tewas kepada Perak dengan jaringan tipis 3-2.

“Kita tetap juara walaupun kita tidak memenangi piala. Kalah menang adat pertandingan. Tahun depan (juara Piala Razak) milik kita pula, insya-Allah,” kata Ahmad Razif melalui akaun Facebook miliknya.

Ahmad Razif bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat turut menyaksikan perlawanan akhir tersebut yang juga dihadiri Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Dalam perlawanan itu, pemain Perak Hafifihafiz Hanafi muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan sekali gus memastikan tuan rumah menjulang piala edisi ke-55 selepas memenanginya pada 2013 dan 2014.

Menerusi kemenangan itu Perak merangkul RM10,000 manakala Terengganu terpaksa berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM7,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here