Imam Syahid Selepas Pimpin Solat Di Masjid Makkah

0
954

RIYADH – Seorang imam di Makkah dilaporkan meninggal dunia semasa memberi ceramah kepada jemaah di sebuah masjid selepas beliau mengimamkan solat fardu Asar pada Rabu lalu.

Imam yang dikenali sebagai Khalid Al-Qurashi itu meninggal syahid di Masjid Abdul Qadir di Awali, lapor portal tempatan Arab News. Rakaman video insiden tersebut kini tular menerusi laman internet.

Melalui rakaman itu beliau yang merupakan anggota fakulti Universiti Umm Al Qura di Makkah dilihat sedang berlutut sambil menghadap jemaah masjid selepas mereka menunaikan solat Asar secara berjemaah.

Sekumpulan makmum masjid berkenaan dilihat bergegas meluru ke arah Khalid dan segera mengangkat tubuh imam tersebut setelah mereka melihat allahyarham tiba-tiba rebah di atas sejadah.

Video yang berdurasi selama 1 minit 40 saat itu sehingga kini ditonton lebih 400,000 kali. Punca sebenar kematian dramatik allahyarham namun tidak dinyatakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Penduduk setempat yang hanya mengenali Khalid secara peribadi memberitahu pihak media Saudi bahawa imam berkenaan merupakan seorang baik hati dan suka memberikan senyuman.

Bagi umat Islam, meninggal ketika masih lagi dalam keadaan ibadah terutama solat dipandang sebagai hebat kerana dijemput ‘menemui’ Ilahi secara mulia. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here